Sembilan hospital laksana ujian perubatan
KUALA LUMPUR,. Sebanyak sembilan hospital di negara ini akan terbabit dalam melaksanakan ujian ubat bagi merawat COVID-19 menerusi kaji selidik solidariti yang diselaraskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata hospital berkenaan adalah Hospital Tuanku Fauziah (Perlis), Hospital Sultanah Bahiyah (Kedah), Hospital Pulau Pinang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Melaka; Hospital Tengku Ampuan Afzan (Pahang), Hospital Umum Sarawak dan Hospital Queen Elizabeth (Sabah).
Katanya, kaji selidik yang diselaraskan oleh WHO di seluruh dunia itu adalah usaha yang julung kali dilakukan bagi mengumpul data boleh dipercayai dan membandingkan keselamatan serta keberkesanan empat protokol rawatan menggunakan kobinasi Remdesivir, Lopinavir/Ritonavir, Interferon beta, Chloroquine dan Hydroxychloroquine.
“Penyertaan Malaysia dalam kaji selidik sedunia ini dapat membantu dalam pencarian ubat menyelamatkan nyawa bagi merawat COVID-19 melalui penilaian keselamatan dan keberkesanannya.
“Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) Kementerian Kesihatan (KKM) dan Clinical Research Malaysia (CRM) akan membantu memudahkan pelaksanaan inisiatif kaji selidik WHO di Malaysia,” katanya dalam kenyataan bersama KKM-WHO, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, penyelidikan itu akan diketuai oleh Pakar Perunding Penyakit Berjangkit di Hospital Pulau Pinang, Dr Chow Ting Soo dan dibantu 16 pakar perubatan penyakit berjangkit dan ahli farmasi sebagai penyelidik bersama.
Beliau turut menegaskan, kaji selidik terbabit akan mematuhi semua piawaian keselamatan ditetapkan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
Sementara itu, Ketua Misi dan Wakil WHO ke Malaysia, Brunei dan Singapura, Dr Ying-Ru Lo, berkata Malaysia menjadi rakan kongsi yang penting dalam kaji selidik berkenaan bagi menilai rawatan berpotensi yang lebih berkesan dalam usaha global melawan virus terbabit.
“Pandemik global ini menjejaskan lebih 180 negara dan salah satu daripada ubat-ubatan ini adalah harapan terbaik untuk merawat orang yang dijangkiti COVID-19.
“Inilah peluang kita, sebagai sebuah komuniti global, untuk menentang gelombang pandemik ini,” katanya.