Satu jam pertama Mesyuarat Khas Dewan Rakyat dipenuhi persoalan tiada bahas, undi

Satu jam pertama Mesyuarat Khas Dewan Rakyat dipenuhi persoalan tiada bahas, undi

KUALA LUMPUR,. Satu jam pertama Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pagi ini panas dengan celahan serta pertanyaan daripada lebih 15 Ahli Parlimen blok pembangkang, yang kebanyakannya merujuk Peraturan Mesyuarat, mempersoal ketiadaan sesi perbahasan serta pengundian bagi perkara dibentangkan menteri-menteri.

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna), Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor), Tun Dr Mahathir Mohamad (Pejuang-Langkawi), Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) dan Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) antara yang bangkit meluahkan ketidakpuasan hati mereka mengenai sesi Dewan Rakyat yang bermula hari ini selama lima hari.

Dr Mahathir semasa bangun mencelah mendakwa kerajaan Perikatan Nasional cuba memperdaya dunia dengan mengadakan mesyuarat khas Dewan Rakyat yang digelarnya sebagai ‘majlis taklimat’ tanpa perbahasan.

“Ini adalah satu penipuan lebih-lebih lagi apabila tekanan wabak COVID-19 menjadi alasan untuk isytihar darurat, tidak dibentang dalam Dewan ini untuk dibahas.

“Berkenaan Pelan Pemulihan Negara (PPN), jika kerajaan ingin maklumkan kepada Dewan ini berkenaan pelan negara, kita tak perlu kepada penerangan. Kita perlu kepada perbahasan (mengenai) penderitaan rakyat, tetapi ini tak termasuk dalam agenda,” kata bekas perdana menteri itu.

Terdahulu, Mohd Shafie, yang merupakan Ahli Parlimen pertama bangun dan meminta penjelasan daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun, bertanya sama ada mesyuarat khas yang diadakan ini selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong dan Perlembagaan Persekutuan.

Keadaan menjadi semakin panas apabila Ramkarpal bertanya mengapa Proklamasi Darurat serta Ordinan di bawah proklamasi itu tidak dikemukakan ke Dewan Rakyat serta menyoal sama ada Azhar Azizan menerima sebarang arahan untuk tidak berbuat demikian.

“Saya nak tahu kenapa Proclamation of Emergency (Proklamasi Darurat) dan Ordinan di bawahnya tidak dibawa ke Dewan? Adakah tuan (Azhar Azizan) menerima arahan untuk tak bawa perkara itu ke Dewan? Jika itu agendanya, letak jawatan,” katanya.

Sementara itu, Sim menegaskan sekiranya mesyuarat khas kali ini tiada sesi perbahasan, ia dianggap sebagai penderhakaan terhadap titah Seri Paduka.

“Dalam titah Tuanku… (persidangan Parlimen) ini untuk membolehkan Ordinan Darurat dan PPN dibahaskan oleh ahli Dewan Rakyat… Saya harap Yang Dipertua jangan heret Parlimen ke arah penderhakaan. Tuan Speaker ada tanggungjawab pertahankan Perlembagaan Persekutuan dan menjunjung titah Tuanku,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )