Sabah catat pelaburan diluluskan RM11.37 bilion bagi separuh pertama 2025 – MITI

Sabah catat pelaburan diluluskan RM11.37 bilion bagi separuh pertama 2025 – MITI

KUALA LUMPUR,. Sabah merekodkan jumlah pelaburan diluluskan bernilai RM11.37 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun 2025 merangkumi sektor perkilangan, perkhidmatan dan sektor utama, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Timbalan Menterinya Liew Chin Tong berkata pelaburan itu melibatkan 82 projek dan dijangka menjana 1,945 peluang pekerjaan baharu.

“Pelaburan terbesar bagi tempoh ini adalah dalam sektor produk logam asas yang menyumbang melebihi separuh daripada keseluruhan pelaburan yang diluluskan.

“Sabah mempunyai potensi tinggi untuk lonjakan ekonomi berasaskan strategi pembangunan yang holistik sepertimana yang digariskan dalam kerangka ekonomi negara dan dasar-dasar industri,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Riduan Rubin (Bebas-Tenom) mengenai mekanisme pemantauan dan jaminan bagi memastikan pelaburan besar di Sabah memberi manfaat sebenar kepada rakyat khususnya dalam penyediaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan pembangunan modal insan.

Selain itu, Riduan ingin tahu pendekatan MITI dalam merangka insentif fiskal, memastikan kepastian dasar serta memperkukuh infrastruktur mesra pelaburan bagi meningkatkan keyakinan pelabur asing dan domestik untuk terus memilih Sabah sebagai hab pelaburan serantau.

Mengulas lanjut, Liew berkata kerjasama erat antara kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan akan memperkukuh pelaksanaan inisiatif pembangunan di negeri itu termasuk pembinaan infrastruktur moden seperti jalan raya, jambatan, lapangan terbang, pelabuhan, rangkaian kereta api serta infrastruktur utiliti dan digital.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan telah menambah peruntukan pembangunan Sabah kepada RM6.9 bilion bagi 2025 untuk menaik taraf prasarana asas seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air bersih.

Beliau berkata projek naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Tawau yang sedang dilaksanakan akan meningkatkan lagi daya tarikan Sabah sebagai destinasi pelaburan.

“Untuk makluman, kerja-kerja naik taraf Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar telah diluluskan dan dijangka siap menjelang 2027 dan akan meningkatkan kapasiti tahunan daripada 500,000 unit bersamaan 20 kaki (TEU) kepada 1.25 juta TEU.

“Projek ini juga termasuk pembinaan jalan khusus yang menghubungkan Taman Perindustrian Kota Kinabalu dan Pelabuhan Sapangar untuk menyokong peningkatan jumlah trafik,” katanya.

Liew berkata MITI dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah melaksanakan pelbagai pendekatan khusus bagi menarik lebih banyak pelaburan ke Sabah, termasuk kerjasama dengan agensi kerajaan lain dalam merangka strategi pelaburan, mengadakan sesi libat urus bersama pelabur serta menyelaras lawatan tapak bagi bakal pelabur.

Katanya pendekatan ini turut menyokong dasar pembangunan utama Sabah yang memberi tumpuan kepada tiga teras utama iaitu pertanian, industri dan pelancongan.

–BERNAMA

CATEGORIES
Share This