RUU Perbekalan 2023 dibentang untuk bacaan kali kedua di Dewan Negara

RUU Perbekalan 2023 dibentang untuk bacaan kali kedua di Dewan Negara

KUALA LUMPUR,. Rang Undang-undang Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) hari ini dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Negara oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pindaan yang diluluskan di Dewan Rakyat petang semalam.

Dalam pembentangan rang undang-undang itu, Anwar berkata Belanjawan 2023 dirumuskan sebagai langkah untuk mendepani tentangan semasa yang mencakupi soal iktisas, tata kelola pentadbiran, langkah pemacuan pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata pentadbiran ini mengambil pendekatan dasar belanjawan yang mengembang dengan Belanjawan 2023 memperuntukkan RM388.10 bilion iaitu RM289.1 bilion ringgit untuk perbelanjaan mengurus manakala RM99 bilion bagi perbelanjaan pembangunan termasuk RM2 bilion ringgit simpanan luar jangka.

Justeru, kerajaan beriltizam untuk mengurangkan defisit fiskal 2023 kepada lima peratus ketimbang 5.6 peratus tahun lepas, katanya.

“Keputusan untuk mengurangkan defisit ini kritikal untuk memulihkan keyakinan pelaburan domestik dan (dari) luar negara, dan kedua ia mempamerkan satu sikap pengurusan kewangan yang lebih bertanggungjawab.

“Kita menjangkakan sekiranya trend ini berterusan, kita dapat mencapai defisit yang dianggap terkawal iaitu sekitar 3.2 peratus menjelang 2025,” katanya.

Anwar berkata Sabah dan Sarawak meraih manfaat besar daripada Belanjawan 2023 dengan peruntukan pembangunan masing-masing sebanyak RM6.5 bilion dan RM5.6 bilion.

“Tumpuan Sabah dan Sarawak jauh lebih tinggi dan ia pada mulanya dipertikaikan, dan saya jelaskan kerana kadar pembangunan, kawasan pedalaman dan kemudahan asasnya terlalu daif,” katanya.

Justeru beliau mahu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diteliti bagi memberi manfaat serta mempercepat proses kelulusan projek di kedua-dua negeri berkenaan.

Dewan Rakyat semalam meluluskan RUU tersebut melalui undian suara majoriti.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )