
RUU Pekerja Gig 2025 perlu tetapkan caruman KWSP – Lau
SIBU,. Senator Robert Lau Hui Yew merayu agar pihak penggubal undang-undang mempertimbangkan pindaan kepada Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 dengan memasukkan caruman mandatori kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Menurut Lau, walaupun RUU tersebut dengan tepat memperuntukkan perlindungan di bawah PERKESO, ia tidak menangani isu keselamatan kewangan jangka panjang pekerja gig melalui simpanan persaraan.
“Ini merupakan satu kelompongan yang ketara.
“Seperti yang kita sedia maklum, kadar simpanan dalam negara ini adalah sangat rendah, khususnya dalam kalangan anak muda, di mana ramai antara mereka langsung tidak mempunyai simpanan.
“Bagi golongan ini, caruman kepada KWSP boleh menjadi kaedah paling praktikal dan mudah untuk mula menabung, walaupun hanya beberapa ringgit sebulan,” ujarnya ketika membahaskan RUU terbabit.
Ahli Dewan Negara itu berkata, RUU itu juga meliputi pekerja yang disenaraikan dalam Jadual, termasuk golongan profesional kreatif seperti artis, pelakon, wartawan dan penjaga.
“Mereka membentuk sebahagian besar daripada tenaga kerja gig, bukan sekadar penghantar makanan yang lebih menonjol. Golongan ini juga berhak menerima manfaat caruman KWSP sebagai perlindungan kewangan asas,” jelasnya.
Lau memberitahu, dengan menyediakan perlindungan PERKESO tetapi tidak KWSP, RUU ini seolah-olah memberi keutamaan kepada perlindungan kemalangan berbanding simpanan jangka panjang.
“Tetapi mengapa perlu memilih antara kedua-duanya?
“Kedua-duanya penting dalam membina jaringan keselamatan sosial yang menyeluruh.
“Tambahan pula, ramai pekerja dalam sektor seni dan kreatif tidak menghadapi risiko kemalangan kerja yang tinggi, namun mereka tetap terdedah kepada ketidakjaminan kewangan pada masa depan.
“Perlu juga dinyatakan bahawa kerajaan Madani baru sahaja memperkenalkan caruman KWSP untuk pekerja asing bermula tahun ini.
“Jika kita sanggup memberikan kemudahan ini kepada bukan warganegara, mengapa tidak kepada rakyat kita sendiri yang bekerja dalam sektor ekonomi gig?
“Sebagai penutup, saya merayu agar pihak penggubal undang-undang mempertimbangkan pindaan kepada Rang Undang-Undang ini untuk memasukkan caruman mandatori kepada KWSP.
“Langkah ini akan mencerminkan pendekatan yang lebih menyeluruh dalam melindungi dan memperkasakan pekerja gig di Malaysia,” tegasnya.

