RM1.32 bilion pembiayaan TERAJU manfaatkan 878 syarikat bumiputera hingga Dis 2025

RM1.32 bilion pembiayaan TERAJU manfaatkan 878 syarikat bumiputera hingga Dis 2025

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM1.32 bilion pembiayaan telah ditawarkan oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) kepada 878 syarikat bumiputera di bawah strategi penskalaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bumiputera dalam sektor strategik terpilih termasuk sektor bernilai tinggi, sehingga Disember 2025.

Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata pembiayaan tersebut ditawarkan melalui program Bumiputera Expansion and Catalyst Fund (BECF) dan Islamic Working Capital Project Financing (i-WCPF).

“Dalam tempoh yang sama, sebanyak empat syarikat bumiputera dalam sektor teknologi tambah tinggi telah dilaburkan dengan jumlah RM58.1 juta melalui dana pelaburan strategik VentureTECH Sdn Bhd.

“Selain itu, sebanyak dua syarikat bumiputera iaitu SumiSaujana Group Bhd telah berjaya disenaraikan di pasaran ACE dan Orkim Bhd telah berjaya disenaraikan di pasaran utama Bursa Malaysia melalui kerjasama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

Mohd Shahar berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Abdul Nasir Idris berkenaan tahap pencapaian inisiatif Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) dalam memperkukuh daya saing ekonomi Bumiputera dalam sektor bernilai tinggi.

Beliau turut berkata kerajaan sedang melaksanakan pelbagai intervensi khusus dan bersasar di bawah PuTERA35 dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) untuk memperkukuhkan daya saing ekonomi bumiputera termasuk peningkatan skala PMKS dalam industri high growth high value (HGHV) dan sektor berpotensi tinggi.

Ini termasuk pengukuhan institusi pembiayaan ekuiti, penyediaan dana pemangkin dan akses pembiayaan alternatif oleh agensi-agensi mandat bumiputera seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), TERAJU, VentureTECH dan Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas).

“Kerajaan juga telah melaksanakan konsolidasi institusi pelaburan bumiputera di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputera bagi memperkukuhkan penyelarasan tadbir urus dan impak pelaburan.

“Langkah ini membolehkan modal domestik digembleng secara lebih bersepadu bagi menyokong pembangunan ekonomi bumiputera lebih inklusif, mampan selari dengan aspirasi Ekonomi MADANI,” katanya.

–BERNAMA

CATEGORIES
Share This