Ranking Malaysia naik ke tangga 26 dalam Indeks Daya Saing Bakat Global 2020

Ranking Malaysia naik ke tangga 26 dalam Indeks Daya Saing Bakat Global 2020

KUALA LUMPUR,. Malaysia menduduki tangga ke-26 daripada 88 negara dalam Indeks Daya Saing Bakat Global 2020 (GTCI 2020), meningkat dua tangga dari kedudukan ke-28 tahun lepas.

Dalam kenyataan hari ini, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) berkata pengiktirafan yang baru diraih Malaysia bagi pembangunan bakat itu telah mendominasi beberapa kategori.

“Malaysia merupakan satu-satunya negara daripada kumpulan negara berpendapatan pertengahan atas yang berada di kuartil teratas laporan itu.

“Malaysia mengatasi negara-negara ekonomi berpendapatan tinggi dalam senarai itu seperti China, Korea Selatan, Sepanyol dan Portugal,” menurut MDEC.

Laporan GTCI 2020 dihasilkan bersama oleh INSEAD University, Google dan Adecco yang mengenal pasti dan mengukur prestasi bakat dunia.

Dari segi ranking prestasi, Malaysia mencatatkan skor yang tinggi dalam tonggak Kebolehan, Tarikan, serta Kemahiran Vokasional dan Teknikal, didorong usaha bersepadu dalam membangunkan bakat teknologi digital dan penambahan kemahiran tenaga kerja generasi akan datang Malaysia.

MDEC berkata negara juga meningkatkan kedudukannya secara ketara dalam tonggak Kekal.

Semua tonggak ini merupakan teras utama pelaburan berterusan Malaysia dalam pembangunan bakat selain berperanan penting untuk memperkasakan perniagaan dalam penggunaan teknologi baharu yang mengupayakan dan mengekalkan kesinambungan dan prestasi perniagaan.

Laporan itu juga memuji kemampuan luar biasa Malaysia yang secara konsisten dapat menyesuaikan penawaran dan permintaan pasaran buruh, apabila berada di tangga keenam global bagi Kebolehpekerjaan.

“Pencapaian ini jelas mengukuhkan fakta bahawa Malaysia berada di landasan yang betul untuk membangunkan bakat digital yang bersedia untuk industri. Kita mesti terus meningkatkan tenaga kerja kita dan menyediakan persekitaran kondusif untuk inovasi digital dan kreativiti berkembang maju.

“Lebih penting lagi, perniagaan kini memerlukan bakat memandangkan keseluruhan industri mesti didigitalkan kerana ekonomi global meneroka norma baharu bagi era pasca-COVID-19,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )