Rang Undang-Undang Sewaan Kediaman dibentang di Parlimen tahun depan

Rang Undang-Undang Sewaan Kediaman dibentang di Parlimen tahun depan

KUALA LUMPUR,. Rang Undang-Undang Sewaan Kediaman berkaitan perjanjian sewaan kediaman, tanggungjawab penyewa dan pemilik kediaman serta tindakan penguatkuasaan, dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada tahun depan.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kementerian sedang menjalankan kajian dan penggubalan rang undang-undang kerana ketika ini masih tiada undang-undang spesifik bagi mengawal selia permasalahan yang wujud dalam sektor sewaan kediaman.

“Antara objektif penggubalan rang undang-undang ini adalah bagi mengawal selia hubungan antara pemilik kediaman dan penyewa, mengimbangi hak dan kewajipan kedua-dua pihak serta mewujudkan institusi penyelesaian pertikaian antara pihak-pihak yang terlibat dalam urus niaga sewaan kediaman.

“Selain itu, rang undang-undang ini turut menyediakan prosedur tindakan serta mekanisme penyelesaian sekiranya wujud sebarang pertikaian dalam urusan sewaan kediaman ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang ingin tahu jika undang-undang perlu digubal untuk melindungi pemilik hartanah daripada penyewa yang tidak membayar sewa.

Menurutnya, kajian tentang perkara itu dijangka siap pada Jun tahun ini dengan proses libat urus bersama pemegang taruh sedang dilaksanakan.

Selain itu, Akmal Nasrullah turut memaklumkan bahawa cadangan asal penggubalan rang undang-undang itu pernah mendapat tentangan dan pertikaian daripada beberapa pihak terlibat.

Sebagai contoh, beliau berkata cadangan yang dikemukakan sebelum ini adalah supaya deposit sekuriti sewaan itu dipegang oleh kerajaan walaupun perjanjian itu hanya melibatkan antara pemilik kediaman serta penyewa dan perkara itu mendapat bantahan daripada pemilik kediaman.

“Maka cadangan itu terpaksa dirombak kembali. Proses itu memang sudah ada, jadi untuk memastikan rang undang-undang ini merangkumi atau memastikan semua pihak penyewa dan pemilik kediaman dilindungi, maka proses ini perlu dijalankan sebaik mungkin,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) yang ingin tahu cabaran dan langkah untuk memastikan sasaran penggubalan Rang Undang-Undang Sewaan Kediaman yang melindungi kepentingan pemilik rumah dan penyewa dapat dilaksanakan sesegera mungkin.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )