Rang Undang-Undang COVID-19  S’pura bolehkan pengambilan tanah untuk tingkat kapasiti penjagaan kesihatan

Rang Undang-Undang COVID-19 S’pura bolehkan pengambilan tanah untuk tingkat kapasiti penjagaan kesihatan

SINGAPURA, 7 April — Rang Undang-Undang (RUU) Covid-19 (Langkah Sementara) Singapura akan membolehkan pengambilan tanah, hartanah atau perkhidmatan yang diperlukan untuk meningkatkan keupayaan penjagaan kesihatan serta kesihatan awam republik itu, kata Menteri Kesihatan Gan Kim Yong.

Sebagai contoh, beliau berkata jika jumlah kes COVID-19 terus meningkat di Singapura, mungkin menjadi keperluan untuk mengambil alih bangunan yang sesuai untuk dijadikan kemudahan penginapan dan penjagaan.

“Ia diperlukan bagi mengasingkan individu yang disyaki atau disahkan dijangkiti, untuk mengurangkan risiko penyebaran yang lebih luas, di samping merawat mereka,” kata Gan dalam ucapannya semasa bacaan kali kedua RUU itu di Parlimen hari ini.

Bagaimanapun, katanya, dalam krisis seperti ini, masa menjadi perkara penting dan “kita tidak boleh bergantung semata-mata kepada rundingan komersial atau muhibah pemilik sumber.”

“Kita perlu bergerak pantas,” katanya, sambil menambah bahawa RUU berkenaan menyediakan pilihan untuk menguatkuasakan Akta Pengambilan Sumber (RORA), bertujuan mengekang COVID-19 serta menjaga pesakit dan mereka yang berisiko.

“Sekiranya RORA digunakan, kerajaan akan melaksanakan peruntukan ini secara bijaksana dan bekerjasama rapat dengan pihak yang terlibat,” katanya.

Gan juga berkata RUU itu memberi kuasa kepada Menteri atau mana-mana pegawai awam yang diberi kuasa oleh Menteri untuk melantik pegawai penguat kuasa untuk mengambil tindakan terhadap individu, pemilik perniagaan atau entiti yang melanggar perintah dan keperluan.

Pegawai penguat kuasa akan termasuk pegawai polis, pegawai awam dan pegawai kesihatan yang dilantik di bawah Akta Penyakit Berjangkit.

“Kita perlu memberi peringatan yang tegas kepada mereka yang membantah langkah-langkah itu, kerana mereka bukan sahaja meletakkan diri mereka tetapi juga orang lain dalam risiko,” katanya, sambil menambah bahawa penalti adalah sejajar dengan yang di bawah Akta Penyakit Berjangkit.

Bagi pesalah kali pertama, penalti adalah denda sehingga S$10,000 atau penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali manakala bagi kesalahan kedua atau seterusnya, hukuman adalah denda sehingga S$20,000, atau penjara sehingga 12 bulan, atau kedua-duanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )