Rakyat Malaysia terkandas selamat pulang dari Timur Tengah

Rakyat Malaysia terkandas selamat pulang dari Timur Tengah

KUALA LUMPUR,. Lebih 400 orang rakyat Malaysia selamat tiba ke tanah air melalui proses repatriasi yang dikendalikan Kementerian Luar, selepas terkandas di beberapa buah negara di Timur Tengah, disebabkan ketiadaan penerbangan pada masa ini akibat penularan COVID-19.

Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar berkata, rakyat Malaysia yang terkandas di Arab Saudi, Algeria, Tunisia, dan Maghribi, telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tengah hari Jumaat.

“Seramai 91 daripada mereka yang terkandas di Arab Saudi, selamat tiba di KLIA kira-kira jam 1.05 tengah hari dengan menaiki pesawat Malindo Air. Mereka sebelum itu telah menaiki pesawat bantuan kemanusiaan Saudia Airlines yang dihantar oleh Kerajaan Singapura, bagi membawa pulang warganya dari Arab Saudi.

“Manakala seramai 312 warga Malaysia yang terkandas di Algeria, Tunisia dan Maghribi tiba di sini kira-kira jam 1.40 tengah hari menaiki pesawat sewaan khas Air Asia X. Penumpang dari Maghribi yang mengikuti penerbangan pulang ini telah diterbangkan khas dari Maghribi ke Algeria, untuk turut serta dalam misi repatriasi tersebut”, katanya dalam satu kenyataan.

Kamarudin berkata, 17 warganegara Indonesia, Singapura (6), Jepun (9) dan Korea (2) turut dibenarkan menaiki pesawat berkenaan, sebagai mengambil kira semangat ‘ASEAN solidarity’ dan kesemua mereka dijadual akan mengambil penerbangan seterusnya untuk pulang ke negara masing-masing.

“Kerajaan Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kesemua negara yang menghulurkan bantuan, dalam memastikan misi ini berjaya dilaksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, Kementerian Luar turut mengambil maklum ketibaan 371 lagi rakyat Malaysia dari Mesir, yang telah tiba pada hari ini jam 5.25 pagi tadi, di mana mereka telah pulang atas pembiayaan sendiri dengan menaiki pesawat kelolaan Zara Zakiah Sdn Bhd.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )