Rais Yatim tidak asing dengan cabang perundangan

Rais Yatim tidak asing dengan cabang perundangan

KUALA LUMPUR,. Yang Dipertua Dewan Negara yang baharu Senator Tan Sri Dr Rais Yatim merupakan tokoh yang tidak asing lagi dengan cabang perundangan, satu daripada tiga cabang utama pengasingan kuasa di negara ini selain eksekutif dan kehakiman.

Rais, 78, pernah menjadi Ahli Parlimen selama enam penggal dan Ahli Dewan Undangan Negeri selama sepenggal.

Di bidang eksekutif, Rais pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan (1978-1982) dan menteri kabinet (1983-1987 dan 1999-2013).

Rais kini dilantik menjadi Yang Dipertua Dewan Negara, menggantikan Tan Sri S.A.Vigneswaran yang tamat perkhidmatan pada 22 Jun lepas.

Tokoh budayawan anak kelahiran Jelebu, Negeri Sembilan itu berkelulusan Sarjana Undang-Undang, University of London dan Diploma Psikologi, Northern Illinois University, Amerika Syarikat memulakan karier sebagai seorang guru sebelum menjadi pensyarah Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi MARA).

Rais kemudian mula ‘bertatih’ dalam bidang politik dengan menjadi Setiausaha Parlimen Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (1974-1976), sebelum diberi kepercayaan menjadi Timbalan Menteri Undang-Undang (1976-1977), dan Timbalan Menteri Dalam Negeri (1977-1978).

Kelayakan dan ketokohan yang ada padanya mendapat perhatian perdana menteri ketika itu Tun Hussein Onn membolehkannya dilantik sebagai Menteri Besar Ne-geri Sembilan selama lima tahun bermula 1978 sebelum diangkat menjadi Menteri Pembangunan Tanah dan Wilayah pada 1983.

Rais terus berkhidmat di dalam kabinet semasa zaman Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Antara kementerian pernah diterajuinya termasuk Kementerian Penerangan, Kementerian Luar, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dan jawatan terakhirnya dalam kabinet ialah Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan.

Beliau kini merupakan Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan dan mengangkat sumpah sebagai senator di Dewan Negara pada 16 Jun lepas.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )