Punca siswazah masih menganggur, tarikh luput skim pencen tumpuan Dewan Rakyat

Punca siswazah masih menganggur, tarikh luput skim pencen tumpuan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR,. Punca siswazah tempatan masih menganggur, tarikh luput skim pencen selain proses membaik pulih perumahan generasi kedua Felda yang terbengkalai, bakal mencuit tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Dalam aturan mesyuarat dikeluarkan laman web Parlimen pada sesi soal jawab lisan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PH-Tanah Merah) memulakan persidangan dengan meminta penjelasan berkaitan punca dan jumlah siswazah yang masih menganggur sejak dua tahun lepas.

Pada sesi sama, Datuk Dr Hasan Bahrom (BN-Tampin) pula meminta data yang tepat berkenaan keperluan perumahan dalam kalangan generasi kedua Felda selain tindakan bagi memastikan nasib golongan itu terbela dalam mendapatkan rumah mereka.

Turut mencuri tumpuan adalah soalan daripada Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang ingin tahu jumlah secara terperinci aset negara yang telah dijual kepada kepentingan asing dalam bentuk peratusan dan ringgit.

Tidak kurang menarik soalan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN-Kepala Batas) yang meminta penjelasan mengenai ‘tarikh luput’ skim pencen kepada pegawai kerajaan dan jika ada skim yang lebih baik untuk menanggung pesara kerajaan.

Usai sesi itu dijangka berakhir kira-kira 12 tengah hari, tumpuan pula kepada sesi pembentangan bacaan kali pertama pindaan Rang Undang-Undang Racun 2019 oleh Kementerian Kesihatan sebelum persidangan terarah kepada perbahasan berkaitan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 berkenaan Belanjawan 2020.

Sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini dijadual berlangsung sehingga 5 Dis.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )