Projek rintis PLKN 3.0 di universiti bermula Julai dan Ogos ini

Projek rintis PLKN 3.0 di universiti bermula Julai dan Ogos ini

KUALA LUMPUR,. Projek rintis Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 di institusi pengajian tinggi akan dilaksanakan pada Julai dan Ogos tahun ini melibatkan kira-kira 6,000 pelajar termasuk dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta tiga politeknik.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata pelaksanaan itu adalah sebahagian daripada pendekatan berfasa PLKN 3.0 yang menyasarkan golongan berusia antara 16 hingga 35 tahun merangkumi peringkat sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi.

Beliau berkata di peringkat sekolah menengah, program telah dimulakan melalui Kem Pemimpin Generasi MADANI sejak Julai 2025 di 2,466 sekolah, melibatkan 20 peratus pelajar Tingkatan Empat atau kira-kira 73,000 pelajar.

“Di peringkat Kementerian Pertahanan, latihan dilaksanakan di kem wataniah dengan sasaran keseluruhan 25,000 peserta,” katanya menjawab soalan tambahan Senator Azahar Hassan mengenai kesediaan kementerian itu menjadikan PLKN sebagai program wajib kepada semua lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Adly berkata Kementerian Pertahanan melihat keperluan menjadikan PLKN sebagai khidmat wajib negara, namun pelaksanaannya bergantung kepada keperluan serta keupayaan fasiliti sedia.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This