Program Smart Classroom@KEMAS diperluas mulai tahun depan

Program Smart Classroom@KEMAS diperluas mulai tahun depan

KUALA LUMPUR,. Program Smart Classroom@KEMAS akan diperluaskan ke tabika seluruh negara secara berfasa mulai tahun depan bagi melahirkan lebih banyak modal insan fasih digital melalui pengintegrasian teknologi dalam aktiviti kurikulum, kokurikulum serta aktiviti di luar kurikulum.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, berkata peluasan itu melibatkan sebuah tabika di setiap negeri dengan jangkaan sebanyak 160 tabika Smart Classroom dapat diwujudkan menjelang 2027.

“Tabika Smart Classroom ini akan dibekalkan akses Internet, 10 tablet, sebuah papan interaktif, komputer riba (mengikut bilangan guru) dan alat pembelajaran robotik.

“Selain itu, bahan pembelajaran digital yang mengintegrasikan teknologi realiti terimbuh (AR), kecerdasan buatan (AI) dan pelbagai teknologi digital dalam pendidikan sesuai dengan tahap perkembangan kanak-kanak enam tahun, sebagai sokongan kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) di kelas,” katanya.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Abdul Halim Suleiman yang ingin tahu sejauh mana tahap pendigitalan bahan pembelajaran di Tabika KEMAS telah dilaksanakan pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

–BERNAMA

CATEGORIES
Share This