PM dijadual perjelas perjanjian sempadan maritim Malaysia-Indonesia hari ini

PM dijadual perjelas perjanjian sempadan maritim Malaysia-Indonesia hari ini

KUALA LUMPUR,. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjelaskan mengenai perjanjian persempadanan maritim yang ditandatangani antara Malaysia dan Indonesia baru-baru ini, pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang disiarkan laman rasmi Parlimen, Anwar menjelaskan isu itu bagi menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bahru) mengenai jaminan kerajaan bahawa perjanjian berkenaan tidak akan menjejaskan hak kedaulatan dan merugikan negara khususnya kesan negatif terhadap aktiviti ekonomi maritim dalam jangka masa panjang.

Perdana menteri turut dijadual menjawab soalan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) yang ingin tahu pembaharuan dibuat kerajaan dalam pendekatan dan tatakelola undang-undang atau peraturan untuk mengekang ketirisan serta kebocoran wang awam.

Noraini juga meminta perdana menteri menyatakan sama ada kerajaan akan meneruskan pelaporan perbelanjaan dan pemantauan Belanjawan Negara.

Pada sesi sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan akan menjelaskan pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR) diwujudkan oleh Mesyuarat Majlis Sains Negara (NSC) yang dijangka menjana RM12.1 bilion kepada pendapatan negara menjelang 2030.

Soalan yang diajukan oleh Tan Kar Hing (PH-Gopeng) itu juga meminta perdana menteri menyatakan kelebihan Malaysia dalam usaha menjadi penggerak utama ekonomi hidrogen berbanding negara-negara seperti Jepun, Korea Selatan, China, Australia dan negara ASEAN yang telah mula menceburi sektor hidrogen.

Pada sesi soal jawab pula, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) mengemukakan soalan kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengenai kesan perubahan cuaca, ancaman bencana alam, serangan penyakit dan perosak terhadap pengeluaran bahan makanan sepanjang dua tahun lepas serta langkah mitigasi yang telah diambil untuk mengurangkan impaknya terhadap sekuriti makanan negara.

Selesai sesi itu, persidangan diteruskan dengan perbahasan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).

Selain itu, Rang Undang-undang Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan) 2023 dan Rang Undang-undang Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Pindaan) 2023 turut tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat untuk bacaan kali kedua.

Persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung selama 11 hari akan berakhir Khamis ini.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )