
PKP: FAMA Johor pergiat jualan barangan makanan secara dalam talian
JOHOR BAHRU, 5 April — Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Johor menggiatkan penjualan barangan makanan secara dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk kemudahan pengguna.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Luar Bandar negeri Datuk Samsolbari Jamali berkata sejak jualan digiatkan mulai 20 Mac lepas menerusi portal www.agrobazaar.com.my , pihaknya menerima 1,500 tempahan pembelian daripada pengguna dengan nilai jualan sebanyak RM200,000 sehingga semalam.
“Inisiatif ini (jualan dalam talian) bukan sahaja memberi ruang kepada pengguna mendapatkan barangan makanan khususnya ayam, ikan, daging, sayur-sayuran dan buah-buahan segar malah membantu memasarkan hasil keluaran penternak dan petani di musim Perintah Kawalan Pergerakan ini,” katanya kepada pemberita ketika meninjau Pasar Tani Kekal (PTK) Datin Halimah, di sini, hari ini.
Samsolbari berkata buat masa ini khidmat jualan dalam talian itu hanya disediakan di PTK Datin Halimah dan Pusat Operasi Fama Johor Bahru, di Jalan Tampoi, di sini, dengan kesemua urusan tempahan, pembungkusan dan penghantaran dikendalikan petugas Fama.
Beliau berkata barangan makanan itu lazimnya mula diasing dan dibungkus mulai 8 pagi dan dihantar kepada pengguna mulai 9 pagi hingga 2 petang dengan kesemuanya adalah tempahan yang dibuat pelanggan sehari sebelumnya.
Secara purata, terdapat antara 80 dan 120 tempahan perlu dihantar sehari dengan menggunakan lima kereta serta tiga motosikal melibatkan jarak sehingga 30 kilometer merangkumi kawasan Kulai, Gelang Patah dan Pasir Gudang, katanya.
Sementara itu, bagi memastikan kelangsungan bekalan makanan sepanjang tempoh PKP, Samsolbari berkata orang ramai boleh mendapatkan barangan makanan secara terus di Pasar Segar Terkawal (PST) iaitu di lima PTK di negeri ini dan Pusat Operasi Fama Johor Bahru.
Beliau berkata lima PTK itu adalah PTK Datin Halimah dan PTK Permas Jaya, di sini, PTK Bukit Gambir di Muar, PTK Endau di Mersing serta PTK Pasar Komuniti dan Karavan (PAKAR) Mersing.
“Di PTK dan Pusat Operasi Fama Johor Bahru ini, pelanggan perlu melalui saringan suhu badan dan menjaga jarak masing-masing. Apa yang penting ini adalah usaha kami untuk memastikan bekalan makanan terkawal, harga berpatutan serta mampu dibeli pengguna.
“Ini juga merupakan usaha menambah saluran pemasaran petani khususnya 1,410 petani kontrak dengan Fama di seluruh negeri ini,” katanya.
— BERNAMA