Pindaan Akta MKN 2016 dibentang untuk bacaan kali pertama

Pindaan Akta MKN 2016 dibentang untuk bacaan kali pertama

KUALA LUMPUR,. Perisytiharan kawasan keselamatan untuk mana-mana kawasan dalam negara demi kepentingan keselamatan negara boleh diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Majlis apabila Akta Majlis Keselamatan Negara (Pindaan) 2020 diluluskan kelak.

Rang undang-undang untuk meminda akta itu dibentang di Dewan Rakyat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan untuk bacaan kali pertama semalam.

Sebelum ini dalam Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016, pengisytiharan kawasan keselamatan boleh dibuat oleh Perdana Menteri, jika Majlis menasihati Perdana Menteri bahawa keselamatan di dalam mana-mana kawasan di Malaysia diganggu atau diancam dengan serius oleh mana-mana orang, perkara atau benda yang menyebabkan bahaya yang serius kepada orang ramai atau kepada wilayah, ekonomi, infrastruktur utama negara atau apa-apa kepentingan negara yang lain.

Bacaan kali kedua pindaan itu akan dibentang pada persidangan kali ini, kata Takiyuddin.

Menurut rang undang-undang yang dibentangkan itu, pindaan Seksyen 18 akta berkenaan turut meliputi subseksyen (4) iaitu menggantikan perkataan “Perdana Menteri” kepada “Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Majlis”; dan subseksyen (6) menggantikan perkataan “di Parlimen” dengan perkataan “di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen”.

Selain itu, pindaan turut melibatkan subseksyen (7), yang sebelum ini menyebut Perdana Menteri boleh, pada bila-bila masa, membatalkan perisytiharan itu (kawasan keselamatan), dan diganti dengan perkataan “Yang di-Pertuan Agong boleh, atas nasihat Majlis”.

Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara (Pindaan) 2020 turut menyaksikan pindaan Seksyen 37 berkaitan hukuman penjara berhubung obligasi kerahsiaan dinaikkan dari dua tahun kepada lima tahun

Rang undang-undang itu juga bertujuan meminda Seksyen 6 Akta Majlis Keselamatan Negara berhubung keanggotaan Majlis iaitu mengeluarkan Timbalan Perdana Menteri sebagai Timbalan Pengerusi Majlis dan memberi kuasa kepada pengerusi majlis untuk melantik seorang timbalan pengerusi dalam kalangan anggota Majlis yang lain.

Mengikut akta asal, keanggotaan Majlis terdiri daripada lapan orang iaitu Perdana Menteri sebagai Pengerusi; Timbalan Perdana Menteri sebagai Timbalan Pengerusi; Menteri yang dipertanggungjawab dengan tanggungjawab bagi pertahanan; Menteri yang dipertanggungjawab dengan tanggungjawab bagi hal ehwal dalam negeri; Menteri yang dipertanggungjawab dengan tanggungjawab bagi komunikasi dan multimedia; Ketua Setiausaha Negara; Panglima Angkatan Tentera; dan Ketua Polis Negara. — Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )