Pindaan Akta 588 perbaiki aspek keselamatan digital bagi keperluan masa depan

Pindaan Akta 588 perbaiki aspek keselamatan digital bagi keperluan masa depan

KUALA LUMPUR,. Langkah memperbaiki aspek keselamatan dan rangkaian susulan peningkatan penggunaan dan kebergantungan orang ramai tehadap perkhidmatan digital merupakan antara objektif bagi meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, berkata pindaan itu juga bagi menggalakkan pembangunan industri komunikasi dan multimedia di negara ini demi keperluan masa hadapan, memandangkan akta itu tidak pernah dipinda sejak 25 tahun lepas.

“Akta ini belum pernah dipinda dan semestinya kita tahu 25 tahun lalu dan sekarang serta 25 tahun akan datang, keadaan teknologi, penggunaan, platform yang ada, juga sangat berbeza.

“Jadi, bila pihak kementerian meneliti secara keseluruhan memandangkan perubahan yang besar sedang berlaku contohnya kalau dulu kita cuma guna 2G dan 3G, sekarang ada 5G,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab soalan Dr Kevin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) mengenai hasrat kementerian untuk meminda Seksyen 233 Akta 588 bagi memastikan ia tidak disalah guna.

Justeru, beliau berharap Ahli Parlimen, pertubuhan bukan kerajaan, orang ramai dan pakar perundangan dapat memberikan maklum balas kepada kementerian bagi menambah baik undang-undang itu.

Menjawab soalan tambahan Yii berkenaan langkah kementerian bagi memastikan akta tersebut tidak disalah guna bagi tujuan pendakwaan terhadap kes hantaran jelik, Fahmi berkata berdasarkan aduan yang diterima, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) secara amnya, akta tersebut tidak disalah guna.

Katanya berdasarkan statistik MCMC, sebanyak 2,804 aduan diterima sejak Januari 2019 hingga Januari lepas dan daripada jumlah itu, sebanyak 1,625 adalah aduan berkaitan kandungan bersifat lucah, 564 aduan berkaitan maklumat palsu dan 541 kandungan jelik.

“Kita juga melihat pola penggunaan platform media sejak 2009 dan kita juga akan bincang dengan Kementerian Dalam Negeri untuk memastikan akta dan seksyen tersebut tidak disalah guna,” katanya.

Menjelas lanjut, Fahmi berkata pada umumnya Seksyen 233 Akta 588 bertujuan menangani penyalahgunaan kemudahan rangkaian, perkhidmatan rangkaian dan aplikasi termasuk media sosial bagi tujuan penyebaran kandungan yang bersifat lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelek dengan niat menyakitkan hati, menganiaya, mengugut dan mengganggu orang lain.

Menjawab soalan tambahan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) berhubung langkah kerajaan untuk membuat semak dan imbang berkenaan isu politik yang dikeluarkan pemimpin, Fahmi menyarankan orang ramai membuat semakan fakta melalui platform yang disediakan MCMC dan Bernama.

“MCMC ada unit dinamakan SEBENARNYA.MY untuk memperjelaskan dan memperbetulkan maklumat palsu dan Bernama mempunyai platform MyCheck.My (MyCheck Malaysia) untuk sahkan sesuatu yang disampaikan itu betul atau tidak,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )