PGK 2024 antara syarat kelayakan bantuan kebajikan mulai 1 Jan – Lim

PGK 2024 antara syarat kelayakan bantuan kebajikan mulai 1 Jan – Lim

KUALA LUMPUR,. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mula mengguna pakai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2024 sebagai satu daripada syarat kelayakan bantuan kebajikan berkuat kuasa 1 Januari lepas, selaras dengan penetapan nilai PGK baharu dalam Belanjawan 2026.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Lim Hui Ying berkata PGK Baharu 2024 ditetapkan pada kadar RM1,236 berbanding PGK Makanan 2022, iaitu RM1,198, manakala PGK per kapita 2024 dinaikkan kepada RM348 daripada RM322 bagi 2022.

“Tahun ini, sebanyak RM2.9 bilion diperuntukkan kepada kementerian melalui JKM bagi tujuan penyaluran bantuan kewangan kebajikan berbanding RM2.7 bilion pada 2025, peningkatan 7.41 peratus,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) berhubung kriteria penilaian semula kelayakan bantuan kebajikan bulanan penerima sedia ada.

Lim berkata bagi penerima sedia ada, penilaian semula dibuat setiap tahun termasuk dua bulan sebelum bantuan tamat bagi menilai kedudukan ekonomi dan sosial semasa, dengan penerima perlu mengemukakan borang kaji semula JKM 20 dalam tempoh itu, selain siasatan atau lawatan pegawai JKM ke rumah penerima jika perlu.

Seiring dengan peningkatan nilai PGK 2024 baharu berbanding PGK Makanan 2022 katanya, langkah itu dapat memperluas pemberian bantuan kerajaan kepada lebih ramai golongan yang memerlukan.

Menjawab soalan tambahan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) tentang perbezaan kos sara hidup di Sabah dan Sarawak, Lim berkata kerajaan menyedari kos di kedua-dua negeri itu lebih tinggi berbanding Semenanjung, namun pelaksanaan bantuan kekal mengikut garis panduan sedia ada.

–BERNAMA

CATEGORIES
Share This