Pertanyaan Pertanyaan Bagi Jawab Lisan – 15 Oktober 2024

Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas ( 2024 )
Hari Isnin, 15 Oktober 2024, Pukul 10.00 Pagi

Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan

1. PR-1533-L26567
Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah [ Paya Besar ] minta MENTERI EKONOMI menyatakan bagaimana Kerajaan merancang untuk merangsang pertumbuhan dalam sektor berkemahiran tinggi bagi menyerap peningkatan bilangan individu berkelulusan tinggi yang memasuki pasaran pekerjaan dan memastikan peluang pekerjaan yang mapan untuk generasi akan datang.

2. PR-1533-L26696
Dato’ Dr. Haji Alias bin Razak [ Kuala Nerus ] minta MENTERI KESIHATAN menyatakan perancangan Kementerian untuk mewujudkan dokumen induk seperti Pelan Tindakan (Blueprint) Pemakanan Kanak-Kanak bagi menyelesaikan isu-isu pemakanan dalam kanak-kanak khususnya isu wasting dan stunting serta obesiti secara komprehensif dan bersepadu.

3. PR-1533-L26029
Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi [ Sri Aman ] minta MENTERI PERTANIAN DAN KETERJAMINAN MAKANAN menyatakan bagaimana Kementerian memastikan penangkapan ikan air laut di perairan kita secara berlebihan (overfishing) dikawal, terutama di kawasan perairan yang terancam akibat aktiviti ini.

4. PR-1533-L26343
Tuan Haji Mohd Syahir bin Che Sulaiman [ Bachok ] minta MENTERI SUMBER MANUSIA menyatakan :
(a) sejauh manakah kadar penyertaan syarikat dalam projek rintis Dasar Gaji Progresif (DGP) sehingga Oktober 2024 serta kriteria pemilihan syarikat berkenaan ; dan
(b) apakah strategi Kementerian bagi memastikan kemampanan DGP selepas tamatnya tempoh setahun projek rintis.

5. PR-1533-L26010
Dato’ Sri Sh Mohmed Puzi bin Sh Ali [ Pekan ] minta MENTERI KERJA RAYA menyatakan adakah Kerajaan bercadang untuk melaksanakan reformasi dasar cerun negara yang baharu dan lebih proaktif sebagai salah satu usaha mengurangkan kejadian seperti tanah runtuh. Nyatakan statistik semasa cerun mudah runtuh seluruh negara yang telah dikenal pasti dan langkah pelaksanaan dalam menanganinya.

6. PR-1533-L27541
Datuk Seri M. Saravanan [ Tapah ] minta MENTERI KEMAJUAN DESA DAN WILAYAH menyatakan usaha mengkaji dan langkah-langkah Kerajaan mewujudkan peluang pengajian Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) kepada masyarakat Orang Asli dalam usaha meningkatkan taraf hidup golongan berkenaan dapat mencapai sasaran sejajar dengan memastikan Orang Asli tidak tercicir dengan peluang yang telah tersedia.

7. PR-1533-L26140
Dato’ Khlir bin Mohd Nor [ Ketereh ] minta MENTERI PERTAHANAN menyatakan usaha-usaha Kementerian setakat ini dalam menentukan veteran tentera mendapat kerjaya kedua setelah menamatkan perkhidmatan selama 21 tahun.

8. PR-1533-L26924
Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng [ Tanjung Piai ] minta MENTERI PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN menyatakan bilangan terbaharu projek perumahan terbengkalai dan apakah bentuk tindakan tegas yang dikenakan terhadap pemaju berkenaan bagi mengelakkan siri projek terbengkalai ini kembali berulang di masa akan datang.

#ParlimentNews

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )