Perkhidmatan logistik, pengangkutan bagi syarikat pembuatan penting dibenarkan beroperasi

Perkhidmatan logistik, pengangkutan bagi syarikat pembuatan penting dibenarkan beroperasi

KUALA LUMPUR, 21 Mac — Perkhidmatan logistik dan pengangkutan bagi syarikat dalam sektor pembuatan penting dan kritikal diberi kebenaran beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata ini bertujuan memastikan bekalan produk penting dan kritikal yang dikeluarkan oleh kilang berkenaan dapat sampai kepada pelanggan dan destinasi dalam tempoh dan keadaan yang sempurna.

“Mesyuarat Jawatankuasa Permohonan Pengecualian Industri hari ini telah memperakukan keputusan bahawa kebenaran beroperasi dalam tempoh PKP yang diberikan kepada syarikat-syarikat dalam sektor pembuatan penting dan kritikal, turut terpakai kepada perkhidmatan logistik dan pengangkutan di bawah syarikat-syarikat berkenaan.

“Justeru, perkhidmatan logistik dan pengangkutan yang berkenaan tidak perlu memohon kebenaran berasingan daripada mana-mana agensi kerajaan bagi meneruskan operasi mereka dalam tempoh PKP ini,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata bagaimanapun, perkhidmatan logistik dan pengangkutan ini hanya dibenarkan membawa atau mengangkut barang-barang serta produk yang dihasilkan syarikat yang telah diberi kebenaran oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dan perlu beroperasi pada kadar tenaga kerja yang minimum.

Mohamed Azmin berkata bagi kilang pembuatan yang telah dibenarkan untuk beroperasi tetapi menggunakan perkhidmatan syarikat logistik dan pengangkutan swasta/individu, syarikat/individu tersebut perlu memohon kebenaran kepada Jawatankuasa Permohonan Pengecualian Industri untuk diperakukan.

“Diharapkan syarikat-syarikat perkhidmatan logistik dan pengangkutan yang beroperasi akan mematuhi syarat-syarat ini, bagi mengelak sebarang tindakan diambil ke atas mereka dan syarikat yang dibenarkan beroperasi.

“Ini akan dapat memastikan mereka memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan dan masyarakat tanpa sebarang halangan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )