
Perkeso terima 248,216 permohonan bagi program subsidi upah
KUALA LUMPUR, 30 April — Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) setakat ini menerima 248,216 permohonan daripada majikan melibatkan 1.98 juta pekerja bagi Program Subsidi Upah (PSU) sejak ia dibuka pada 1 April lepas sehingga semalam.
Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dalam satu kenyataan hari ini berkata majikan perusahaan mikro dan kecil adalah paling banyak memohon daripada jumlah keseluruhan permohonan itu.
Beliau turut mengingatkan para majikan supaya mengisi Business Registration Number (BRN) yang betul sewaktu mengemukakan permohonan PSU mereka.
“Jika BRN tidak tepat, pembayaran Subsidi Upah tidak dapat dikreditkan ke akaun syarikat anda. Majikan dinasihatkan merujuk kepada pihak bank untuk mendapatkan nombor BRN mereka bagi tujuan permohonan PSU,” katanya.
Jelasnya, nombor BRN didaftarkan oleh majikan dengan pihak bank ketika pembukaan akaun bank.
Katanya, susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), majikan hanya boleh membuat permohonan dalam talian sahaja iaitu melalui prihatin.perkeso.gov.my. Permohonan PSU dibuka sehingga 15 September.
Sekiranya menghadapi kesulitan dalam mengemukakan permohonan boleh hubungi Perkeso melalui e-mel [email protected] atau melayari www.facebook.com/PERKESO.Official serta menghubungi 03-8091 5100 / 03-4264 5555 / 1-300-22-8000.
— BERNAMA