Perjanjian Lintas Batas bersama Indonesia ditandatangani tahun ini

Perjanjian Lintas Batas bersama Indonesia ditandatangani tahun ini

KUALA LUMPUR,. Senarai pintu masuk sempadan baharu adalah antara tiga perkara yang akan dimuktamadkan menerusi Perjanjian Lintas Batas (BCA) antara Malaysia dan Indonesia.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perjanjian itu dijangka akan ditandatangani ketika lawatan Presiden Indonesia Joko Widodo ke negara ini pada tahun ini.

“Kedua, kita juga telah bersetuju kedua-dua negara untuk memuktamadkan kawasan akses kerana apabila pintu masuk ini dibuka, aliran keluar masuk rakyat dua negara ini akan berlaku dan di situlah potensi berlaku ancaman atau pelanggaran (peraturan).

“Kedua-dua negara sedang berunding untuk memuktamadkan kawasan masuk, di mana penduduk dibenarkan berada,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini, bagi soalan tambahan soalan Roy Angau Gingkoi (GPS-Lubok Antu).

Ahli Parlimen Lubok Antu itu ingin tahu tentang langkah proaktif yang diambil kerajaan untuk meningkatkan tahap keselamatan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) dan kawasan sekitarnya terutama membabitkan aset penting negara berikutan pembangunan Nusantara sebagai ibu kota baharu negara jiran.

Saifuddin berkata perkara ketiga adalah semakan terhadap elemen perundangan dan menegaskan aspek keselamatan negara menjadi keutamaan kerajaan meskipun pintu sempadan dibuka selepas semua ketiga-tiga perkara tersebut telah dimuktamadkan.

Sementara itu, beliau berkata bilangan pengembara di pintu masuk Sabah dan Sarawak dijangka akan mengalami peningkatan ketara susulan pembukaan Nusantara, ibu negara baharu negara itu di Kalimantan Timur.

Justeru, beliau berkata kerajaan baru-baru ini telah mengumumkan peruntukan RM1 bilion untuk meningkatkan keupayaan ICQS serta prasarana lain.

Katanya RM194 juta turut diluluskan bagi membina dan menaik taraf beberapa ICQS dan pos kawalan imigresen di sekitar sempadan Sarawak.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )