Perdagangan Angtarabangsa Malaysia meningkat, cecah RM151.80 bilion pada 2025 – PM

Perdagangan Angtarabangsa Malaysia meningkat, cecah RM151.80 bilion pada 2025 – PM

KUALA LUMPUR,. Malaysia catat lebihan dagangan sebanyak RM151.80 bilion pada 2025, meningkat 9.2 peratus berbanding 2024.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pencapaian memberangsangkan itu didorong oleh strategi kerajaan memperluaskan pasaran dan ruang perdagangan antarabangsa melalui lawatan rasmi serta misi perdagangan ke pelbagai negara.

“Pada tahun 2025, Malaysia menjana jualan eksport berjumlah RM45.4 bilion hasil hubungan perdagangan dengan beberapa negara termasuk United Kingdom, Thailand, Rusia, Itali, Perancis, Brazil, Republik Rakyat China (RRC), Republik Korea, Ethiopia, Kenya dan Afrika Selatan.”

“Jualan eksport tersebut tertumpu kepada sektor gas asli cecair (LNG), minyak kelapa sawit serta barangan elektrik dan elektronik (E&E) yang terus mencatat peningkatan, khususnya dalam bidang semikonduktor, selain barangan aeroangkasa, perabot dan bahan-bahan lain,” kata Datuk Seri Anwar di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung.

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar memaklumkan Malaysia turut mencatatkan jumlah perdagangan tertinggi dalam sejarah, iaitu RM3.061 trilion, meningkat 6.3 peratus berbanding 2024, hasil pendekatan perdagangan terbuka dengan lebih 240 pasaran antarabangsa.

Selain itu, nilai eksport negara turut mencatat paras tertinggi sebanyak RM1.63 trilion, meningkat 6.5 peratus, melibatkan pasaran utama termasuk ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) serta pasaran lain.

CATEGORIES
Share This