Perbanyak projek di Sarawak seiring Kalimantan sebagai ibu negara baharu Indonesia

Perbanyak projek di Sarawak seiring Kalimantan sebagai ibu negara baharu Indonesia

KUALA LUMPUR,. Kerajaan digesa memperbanyak projek pembangunan di Sarawak susulan Kalimantan yang bersempadan dengan negeri itu bakal dinobat sebagai ibu negara baharu Indonesia.

Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) berkata perkara itu amat penting bagi menjana ekonomi di kawasan sekitar Sarawak memandangkan pembangunan pesat turut berlaku di Kalimantan.

“Oleh itu, pembangunan dan keperluan untuk lebih banyak projek yang mampu menjana ekonomi di kawasan sekitar yang terlibat adalah amat penting bagi memastikan limpahan ekonomi dan pembangunan ini akan dapat dinikmati bersama,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau juga meminta kerajaan menambah baik sistem kawalan di sempadan Sarawak-Kalimantan dengan menambah anggota Pasukan Gerakan Am khususnya di beberapa lokasi panas penyeludupan dan penyusupan pendatang tanpa izin iaitu Kuching, Serian dan Sri Aman.

Ma’mun Sulaiman (Warisan-Kalabakan) pula berkata Malaysia akan menyaksikan impak dan limpahan ekonomi apabila ibu kota baharu Indonesia dipindahkan ke Kalimantan.

Beliau berkata antaranya menerusi projek pembinaan Lebuhraya Trans-Borneo yang dijangka menjadi pemangkin ekonomi warga Kalabakan dan Tawau selain memberi manfaat kepada negeri itu secara umumnya.

Seramai 22 Ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 hari ini.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )