Perancangan projek bangunan baharu fama bermula sejak 2011

Perancangan projek bangunan baharu fama bermula sejak 2011

KUALA LUMPUR,. Perancangan projek bangunan korporat baharu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah bermula sejak 2011, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Beliau berkata kaedah pertukaran tanah yang digunakan bagi projek pembinaan itu dilaksanakan mengikut tatacara perolehan yang berkuat kuasa dan mendapat kelulusan di peringkat kabinet.

“Proses ini melalui tiga Perdana Menteri sejak 2011 dan hanya lulus dan dimeterai selepas pembentukan kerajaan Perikatan Nasional,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) di Dewan Rakyat semalam.

Perkara itu dibangkitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) ketika sesi perbahasan apabila beliau mempersoalkan keutamaan kerajaan untuk membina bangunan baharu berkenaan bernilai RM220 juta di Kelana Jaya yang disifatkan sebagai ‘mahligai’ baharu, atau untuk membantu petani dan peladang memasarkan hasil dan produk mereka.

Mengulas lanjut, Kiandee berkata bangunan itu kelak akan menyediakan pusat jualan agrobazaar bagi memasarkan produk pertanian dan agromakanan.

“Fungsi dan peranan FAMA telah diperkemas dengan melaksanakan pemasaran baharu seperti melaksanakan pendigitialan dan e-commerce.

“Petani-petani kecil diberi bimbingan bagi menyediakan produk-produk keperluan pemasaran moden agar terus relevan dengan keperluan industri. FAMA akan terus memainkan peranan penting untuk membantu pemasaran produk agro makanan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata walaupun terdapat pengurangan peruntukan bagi Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) dalam Belanjawan 2021, Kementerian Kewangan memberi jaminan untuk menyalurkan tambahan peruntukan apabila terdapat peningkatan dalam pengeluaran hasil padi.

Kiandee berkata beliau sendiri telah menyuarakan kebimbangan berhubung jumlah peruntukan berkenaan sebanyak RM570 juta dalam belanjawan ini berbanding RM620 juta pada Belanjawan 2020, yang dikhuatiri tidak mencukupi untuk memenuhi sasaran pengeluaran 1.9 juta tan metrik padi pada tahun hadapan.

“MAFI sasarkan sebanyak 1.9 juta tan metrik padi akan dikeluarkan pada tahun hadapan dan tentu sekali ia akan melibatkan data subsidi harga padi ini yang lebih tinggi dan jika dilihat peruntukan yang diberi ini hanya boleh mensasarkan lebih kurang 1.5 juta tan metrik.

“Di MAFI kami juga melihat itu sebagai satu kerisauan kerana kita diunjurkan untuk mengeluarkan 1.9 juta tan metrik, sebab itu saya katakan jaminan daripada MOF (Kementerian Kewangan) itu meyakinkan kita bahawa MOF akan mendengar susulan tambahan peruntukan untuk butiran subsidi ini jika perlu,” katanya.

Isu berhubung SSHP itu dibangkitkan Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) dan Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjung Karang) yang ingin tahu sama ada kerajaan tidak yakin dengan penambahan hasil padi pada tahun hadapan berikutan jumlah peruntukan untuk skim itu yang dikurangkan sebanyak RM50 juta.

Rang Undang-undang Perbekalan 2021 peringkat Jawatankuasa bagi kementerian berkenaan kemudiannya diluluskan dengan undian suara terbanyak selepas dibahas lapan Ahli Parlimen, antaranya Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau), Tun Dr Mahathir Mohamad (Bebas-Langkawi) dan Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar).

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )