Penggunaan plat OKU wajar, mudahkan penguatkuasaan fasiliti OKU: Ras Adiba

Penggunaan plat OKU wajar, mudahkan penguatkuasaan fasiliti OKU: Ras Adiba

KUALA LUMPUR,. Cadangan penggunaan plat kenderaan Orang Kurang Upaya (OKU) dilihat bertepatan dan wajar bagi memudahkan penguatkuasaan penyalahgunaan fasiliti OKU, kata Senator Ras Adiba Radzi.

Beliau berkata langkah itu secara tidak langsung akan memberi kesedaran kepada orang awam supaya tidak sewenang-wenangnya menggunakan kemudahan yang dikhaskan untuk golongan OKU, terutamanya lot parkir.

“Saya mewakili golongan OKU menyambut baik cadangan plat kenderaan OKU bagi menggantikan penggunaan pelekat kenderaan OKU kerana di sini kita boleh melakukan penguatkuasaan terhadap mereka yang menyalahgunakan kemudahan OKU terutama parkir OKU.

“Plat kenderaan ini akan diletakkan simbol ‘wheelchairs’ berwarna biru iaitu warna standard yang digunakan (OKU) di seluruh negara,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini semalam.

Ras Adiba yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berkata penggunaan plat itu turut akan membantu penjaga dan waris OKU mengatasi kekangan pergerakan terutamanya ketika mereka berada di kawasan awam.

Beliau turut menyeru pemilik premis dan bangunan agar menyediakan kemudahan mesra OKU di premis masing-masing.

Kelmarin, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dilaporkan bersetuju penggunaan plat kenderaan OKU itu dengan mengambil kira kepentingan dan keperluan OKU serta waris yang memerlukan kemudahan tersebut disebabkan oleh kekangan mobiliti dan faktor keselamatan.

Menurut kementerian itu, kategori OKU yang layak bagi penggunaan plat kenderaan terbabit ialah kategori Fizikal, subkategori OKU Pembelajaran iaitu ‘Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD) Akut’, Autisme Akut, OKU Kategori Pelbagai dan Waris OKU berkenaan (satu waris) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Mengenai pendekatan Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang akan memberikan fokus kepada OKU termasuk cadangan mewujudkan siaran televisyen khusus untuk golongan itu, Ras Adiba menyifatkannya sebagai platform terbaik dalam memberi informasi kepada OKU.

“Saya juga mahu grafik-grafik yang disiarkan seperti di televisyen supaya tidak terlalu padat informasinya kerana perkara ini akan menimbulkan kekusutan kepada OKU untuk membaca,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )