Pengeluaran CKD X70 cetuskan perkembangan baharu dalam ekosistem vendor – Darell

Pengeluaran CKD X70 cetuskan perkembangan baharu dalam ekosistem vendor – Darell

TANJUNG MALIM, 13 Dis — Pengeluaran pemasangan tempatan (CKD) kenderaan utiliti sukan Proton X70 secara tidak langsung telah memulakan perkembangan baharu dalam ekosistem vendor automotif Malaysia, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking.

Menurut beliau, perkongsian Proton-Geely telah merangsang ekosistem vendor domestik melalui pemadanan syarikat tempatan dengan luar negara dalam usaha membekalkan komponen untuk model semasa dan masa depan.

“Ini telah membawa pelaburan kepada ekonomi Malaysia dan membantu mewujudkan pekerjaan,” katanya ketika pelancaran pengeluaran CKD X70 di sini hari ini.

Pemasangan secara CKD itu akan dibuat di kilang baharu Proton yang bernilai RM1.2 bilion di sini.

Darell berkata dengan perancangan Proton untuk mengembangkan lagi tenaga kerja di masa hadapan, Proton City di Tanjung Malim akan menjadi pusat pengeluaran automotif yang paling utama di Malaysia.

“Saya dimaklumkan bahawa Proton berhasrat untuk menjual 400,000 kereta setahun menjelang 2027 dan kebanyakan kereta tersebut akan dibina di Tanjung Malim, ini bermakna lebih banyak pelaburan akan datang ke Malaysia untuk mencapai sasaran itu,” katanya.

Sekarang ini, Proton City mempunyai seramai 2,006 tenaga kerja dan telah menarik RM263 juta pelaburan dari segi perjanjian teknikal dan pelaburan langsung asing.

Darell berkata sektor automotif global pada hari ini sedang melalui satu fasa yang menarik, pengeluar kereta dijangka akan terus membangunkan model baharu dengan konsep yang mesra alam dan pengangkutan secara keseluruhan sedang melalui revolusi dalam usaha bagi mengekalkan industri ini untuk terus mampan kepada generasi akan datang.

“Saya berharap Proton akan menjadi daya penggerak dalam menerajui pemain industri tempatan agar sejajar dengan arah aliran global,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar berkata, kilang baharu ini juga akan menghasilkan produk masa depan yang dibangunkan bersama oleh Geely dan Proton.

“Kami sentiasa berusaha untuk meningkatkan bilangan komponen yang disumberkan secara tempatan,” katanya.

Beliau menjelaskan ini adalah sejajar dengan matlamat jangka panjang Proton iaitu untuk menjadi jenama automotif global dan penggerak pasaran pemanduan belah kanan untuk Geely.

Dalam perkembangan lain, Syed Faisal Albar berkata, syarikat itu berada di landasan yang baik untuk mencapai jualan 100,000 unit pada tahun ini.

Bagi tempoh Januari hingga November, jualan Proton sudah mencecah 89,476 unit atau pertumbuhan dari tahun ke tahun sebanyak 50.1 peratus.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )