Pemuda UMNO minta pendingin hawa Dewan Rakyat ditutup

Pemuda UMNO minta pendingin hawa Dewan Rakyat ditutup

KUALA LUMPUR,. Pemuda UMNO hari ini melahirkan rasa simpati dan meminta pengurusan Dewan Rakyat untuk menutup pendingin hawa semasa persidangan berlangsung.

Exconya, Shahrul Nasrun Kamarudin dalam surat yang dihantar kepada Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof menjelaskan, ia juga tanda kehibaan atas kegagalan Ahli Parlimen kerajaan yang tidak dapat hadir ke sidang kerana kesejukan di Dewan Rakyat.

“Dengan penutupan pendingin hawa ini juga, pengurusan Dewan Rakyat dapat menjimatkan bil elektrik dan penjimatan ini juga akan dapat menambah bantuan kepada rakyat yang memerlukan,” katanya dalam surat berkenaan.

Pada Rabu, Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin menjadikan kesejukan dewan menjadi penyebab tidak ramai wakil rakyat mampu duduk berjam-jam semasa persidangan berlangsung.
Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, sukar bagi Ahli Parlimen untuk berada dalam Dewan Rakyat secara berterusan kerana suhunya yang cukup rendah.

BACA: Suhu Dewan Rakyat sangat sejuk, sukar untuk Ahli Parlimen duduk lama – Hanipa Maidin

Sebelum itu, Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul menegaskan, kekurangan kehadiran Ahli Parlimen kerajaan akibat keletihan hampir menggagalkan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada Selasa.

Katanya, kekangan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang terikat dengan beberapa program turut menyumbang ketidakhadiran ke Dewan Rakyat.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )