Pembentangan RUU Racun ditangguhkan

Pembentangan RUU Racun ditangguhkan

KUALA LUMPUR,. Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Racun (Pindaan) 2019 yang dijadualkan untuk bacaan kali kedua pada mesyuarat Dewan Rakyat kali ini, sekali lagi ditangguhkan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Aaron Ago Dagang, mengemukakan keputusan itu mengikut Peraturan Mesyuarat 62 Dewan Rakyat.

“Saya mohon DR 37/2019 RUU Racun (Pindaan) 2019 seperti tertera pada nombor tujuh dalam aturan urusan mesyuarat dan usul-usul pada hari ini ditangguhkan bacaan kali kedua dan ketiga.

“Ia akan dibawa ke mesyuarat akan datang,” katanya sebelum Waktu Pertanyaan Menteri (MQT), di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon, yang mempengerusikan mesyuarat sesi pagi kemudian mengesahkan pemakluman itu dan menerima keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menarik balik RUU berkenaan.

RUU Racun (Pindaan) 2019 dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 25 November tahun lalu, antara lain memperkenalkan peruntukan baharu mewajibkan pengamal perubatan berdaftar untuk mengeluarkan preskripsi jika diminta oleh pesakitnya.

Cadangan peruntukan baharu dalam pindaan itu bagi memastikan hak pesakit dijamin dengan diberi pilihan selepas selesai sesi konsultasi untuk menentukan tempat mendapatkan bekalan ubat bagi rawatan, sama ada di kemudahan perubatan atau farmasi luar.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )