Pegawai khas Pak Lah angkat sumpah sebagai senator

Pegawai khas Pak Lah angkat sumpah sebagai senator

KUALA LUMPUR,. Pegawai khas kepada bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Jefridin Atan semalam mengangkat sumpah jawatan sebagai senator, di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim.

Jefridin yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Johor merupakan lantikan baharu pilihan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Rais ketika berucap berkata, dengan pelantikan Jefridin, lengkaplah keanggotaan Ahli Dewan Negara dalam kalangan pilihan DUN negeri-negeri iaitu seramai 26 orang mewakili 13 negeri dan empat ahli dari Wilayah Persekutuan.

“Diharapkan agar dewan yang mulia ini dapat memberi perhatian kepada suara-suara negeri, yang mana hasrat penubuhan Dewan Negara yang terkandung di dalam laporan Suruhanjaya Reid, yang bertujuan untuk menjaga hak negeri-negeri di dalam Persekutuan.

“Dewan Negara merupakan institusi yang berpotensi besar menjadikan doktrin semak dan imbang, berfungsi dengan baik dan berkesan. Dewan yang mulia ini harus memastikan perbincangan dan pertimbangan yang sewajarnya diperhalusi sebelum meluluskan sesuatu rang undang-undang,” katanya.

Rais turut berharap, semua senator dapat menghayati fungsi sebenar Dewan Negara dan menjalankan amanah dipertanggungjawabkan, dengan baik.

Jefridin berkhidmat sebagai pegawai khas Abdullah sejak 2009 hingga kini, dan pernah menjadi Setiausaha Peribadi Abdullah semasa menjadi perdana menteri dari 2003 hingga 2009.

Beliau juga pernah menjadi Setiausaha Sulit semasa Abdullah menjadi timbalan perdana menteri pada 2001 dan 2003 dan turut memegang jawatan sebagai Pengerusi Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi (LEGASI), sejak tahun 2016 hingga kini.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )