Pasukan khas di bawah D11 akan ditubuh kekang pornografi kanak-kanak

Pasukan khas di bawah D11 akan ditubuh kekang pornografi kanak-kanak

KUALA LUMPUR,. Sebuah pasukan khas di bawah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) akan ditubuhkan khusus untuk mengekang aktiviti pornografi kanak-kanak.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pasukan berkenaan akan bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk mencari pelaku yang terlibat.

Beliau berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mewujudkan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Ia untuk memberikan perkhidmatan sokongan lebih komprehensif kepada kanak-kanak,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, di bawah Kerajaan Perpaduan semalam.

Belanjawan 2023 sebelum ini dibentangkan oleh kerajaan terdahulu pada 7 Okt tahun lepas yang memperuntukkan sejumlah RM372.3 bilion.

Bagaimanapun, belanjawan itu tidak sempat dibahas dan diluluskan susulan pembubaran Parlimen pada 10 Okt yang memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sementara itu, Anwar berkata kerajaan akan menggubal Akta Kredit Pengguna serta menubuhkan Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna bagi mengawal selia perniagaan kredit, yang dijangka dibentangkan pada tahun ini.

Beliau berkata ia bagi menjamin layanan yang adil serta melindungi hak rakyat dan perniagaan.

“Syarikat yang menyediakan perkhidmatan kredit pengguna seperti syarikat pemfaktoran dan Buy Now Pay Later perlu dikawal lagi bagi melindungi hak pengguna,” katanya.

Selain itu, Anwar berkata bagi membantu rakyat susah mendapat pembelaan yang adil dan saksama, Jabatan Bantuan Guaman akan menaikkan had kelayakan mendapatkan bantuan guaman penuh daripada RM30,000 kepada RM50,000.

Beliau berkata fungsi jabatan berkenaan juga akan diperluas meliputi kes-kes sivil dan syariah.

“Melangkah ke hadapan, kerajaan akan meniliti ikhtiar untuk menggubal akta yang khusus bagi menawarkan bantuan guaman percuma bagi kes jenayah supaya rakyat susah turut mendapat akses kepada keadilan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )