Parlimen: RM6.05 bilion untuk 101 projek jalan luar bandar Sabah menerusi RMK11

Parlimen: RM6.05 bilion untuk 101 projek jalan luar bandar Sabah menerusi RMK11

KUALA LUMPUR,. Sebanyak 101 projek Jalan Luar Bandar (JALB) di Sabah telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) membabitkan kos keseluruhan RM6.05 bilion, persidangan Dewan Rakyat diberitahu.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata pada tahun ini, sebanyak RM271.24 juta telah diperuntukkan untuk projek itu dengan belanja terkini sebanyak RM172.48 juta.

“Daripada 101 projek itu, sebanyak 18 projek sedang dalam peringkat perancangan, 22 projek dalam perlantikan perunding dan reka bentuk, tujuh projek sedang dalam peringkat perolehan, 26 projek dalam pembinaan dan 28 projek telah siap sepenuhnya,” katanya.

Perkara itu dinyatakan dalam jawapan bertulis sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri bagi menjawab soalan Ahmad Hassan (Warisan-Papar) yang mahu tahu jumlah peruntukan, status projek dan peratusan peruntukan yang telah digunakan untuk projek jalan raya, elektrik dan air di Sabah.

Sementara itu, bagi projek Jalan Perhubungan Desa (JPD) Sabah, kementerian turut menerima sejumlah RM69.644 juta peruntukan tahun ini melibatkan 278 projek, termasuk RM25 juta peruntukan yang diterima menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE), katanya.

“(Bagi projek JPD) Setakat 30 Okt, sejumlah RM26.23 juta peruntukan telah dibelanjakan, 54 projek sedang di peringkat perolehan, 69 projek di peringkat pelaksanaan dan 155 projek telah siap,” katanya.

Berhubung projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Sabah, Abdul Latiff memaklumkan sebanyak 63 projek sedang dan akan dijalankan di bawah RMK11 dengan kos keseluruhan sebanyak RM2.04 billion.

Tahun ini sahaja, sebanyak RM212,208,000 telah diperuntukkan bagi projek BALB dengan belanja terkini sebanyak RM171,765,803, kata beliau.

“Daripada 63 projek itu, 21 projek dalam peringkat pembinaan, 38 dalam peringkat reka bentuk dan empat projek telah siap,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )