Parlimen: Penamatan kontrak KVDT2, kerajaan sedia runding capai keputusan menang-menang

Parlimen: Penamatan kontrak KVDT2, kerajaan sedia runding capai keputusan menang-menang

KUALA LUMPUR,. Kerajaan sedia berunding dengan Syarikat Dhaya Maju LTAT berhubung penamatan kontrak Projek Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) dalam mencapai keputusan ‘menang-menang’ untuk kedua-dua pihak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan berkata mesyuarat jemaah menteri pada Jumaat lepas memutuskan supaya Kementerian Pengangkutan mengadakan rundingan dengan syarikat berkenaan yang telah membawa kes itu ke mahkamah.

“Bukan sahaja dalam kes sivil ini, dalam mana-mana kes sivil yang dihadapi kerajaan, sikap kerajaan ialah terbuka untuk sentiasa merundingkan apa-apa penyelesaian untuk penyelesaian secara baik di luar mahkamah,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Anthony Loke Siew Fook (PH-Seremban) sama ada kerajaan sedia merunding semula dengan pihak syarikat bagi mengelak implikasi perundangan dan kelewatan projek KVDT2.

Takiyuddin mengakui kerajaan akan berdepan kelewatan dalam pelaksanaan projek itu memandangkan syarikat berkenaan telah mendapat injuksi sementara terhadap kerajaan selain melakukan beberapa lagi tindakan perundangan.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata projek berkenaan telah dimulakan sejak Disember 2017 sebelum kerajaan memutuskan untuk menamatkan kontrak syarikat berkenaan pada Oktober 2018.

Bagaimanapun, rundingan semula diadakan bersama syarikat berkenaan pada Julai 2019 dengan kerajaan kemudiannya bersetuju syarikat itu meneruskan kontrak projek KVDT2.

Beliau berkata pada 25 Ogos lepas, satu memorandum jemaah menteri yang dibawa Kementerian Pengangkutan mencadangkan supaya kontrak itu ditamatkan dengan alasan-alasan tertentu dan dipersetujui jemaah menteri.

“Akibat penamatan kontrak ini, pihak kerajaan telah mengalami tiga tuntutan sivil di mahkamah iaitu semakan kehakiman, writ saman atas pelanggaran kontrak atau tuntutan ganti rugi daripada pihak syarikat dan permohonan injuksi,” katanya.

Menjawab soalan asal Loke mengenai ulasan pihak Peguam Negara terhadap keputusan kerajaan membatalkan kontrak berkenaan, Takiyuddin berkata secara umumnya, pihak Peguam Negara sebagai penasihat kerajaan mahu kerajaan benar-benar memastikan penamatan kontrak dibuat berdasarkan undang-undang.

“Kerajaan juga mestilah mempunyai fakta-fakta yang mencukupi untuk membolehkan kerajaan mengambil tindakan membatalkan sesuatu kontrak itu,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )