Parlimen: KKM laksana perolehan secara darurat hadapi pandemik COVID-19

Parlimen: KKM laksana perolehan secara darurat hadapi pandemik COVID-19

KUALA LUMPUR,. Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaksanakan perolehan secara darurat bagi memastikan keperluan petugas barisan hadapan mencukupi sejak bermulanya penularan COVID-19 di dalam negara pada Januari lepas, kata Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata kementerian menggunakan garis panduan dan prosedur di bawah Pelan Perbendaharaan 3.3 iaitu Garis Panduan Perbelanjaan Darurat (AP 55) dan Perolehan Darurat (173.2) bagi tujuan itu.

“Melalui prosedur ini, KKM berjaya memperoleh sebahagian besar keperluan peralatan dan kelengkapan yang diperlukan untuk menghadapi COVID-19 walaupun berdepan kekurangan sumber.

“Terdapat 182 syarikat pembekal dilantik oleh kerajaan untuk perolehan darurat. Setakat ini, dari segi alat perlindungan peribadi (PPE), KKM berjaya menyediakan simpanan stok untuk digunakan dalam masa tiga bulan dan ini akan diteruskan mengikut kehendak semasa,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Datuk Liew Vui Keong (Warisan-Batu Sapi) yang ingin tahu prosedur digunakan dalam sesuatu proses perolehan yang dilaksanakan KKM ketika pandemik COVID-19.

Aaron berkata KKM sentiasa mematuhi prinsip asas perolehan yang digariskan di bawah akta dan tatacara kewangan yang dikuatkuasakan.

“Semua perolehan perbekalan perkhidmatan dan kerja yang dibuat adalah berdasarkan prinsip terbaik, telus, adil, menjimatkan dan menguntungkan kerajaan.

“Justeru, khusus bagi tujuan perolehan aset, perubatan dan bukan perubatan, KKM sudah mengenal pasti dan memperincikan item yang perlu diperoleh dan akan turunkan kuasa kepada pusat bertanggungjawab (PTJ),” jelasnya.

Menjawab soalan tambahan Ahmad Hassan (Warisan-Papar) mengenai jumlah syarikat tempatan yang berjaya mendapatkan sebut harga dan tender semasa tempoh COVID-19, Aaron berkata beliau tidak mempunyai data terperinci mengenainya ketika ini namun kerajaan telah membelanjakan RM650 juta untuk tujuan pembelian aset dan ubat-ubatan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )