Parlimen: Kerajaan berhasrat tukar semula BTS sawit kepada geran di bawah RMK-12

Parlimen: Kerajaan berhasrat tukar semula BTS sawit kepada geran di bawah RMK-12

KUALA LUMPUR,. Kerajaan Perikatan Nasional (PN) berhasrat untuk menukar semula status Bantuan Tanaman Semula (BTS) sawit daripada pinjaman kepada geran di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Timbalan Menteri Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Wille Mongin berkata status BTS telah ditukar kepada pinjaman sewaktu permerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“Mereka (kerajaan PH) telah keluarkan geran BTS dan tukar kepada pinjaman yang menyebabkan pekebun kecil negara terkesan.

“Kerajaan Perikatan Nasional sebaliknya amat prihatin dengan isu ini dan akan menukar semula BTS kepada geran yang akan direalisasikan di bawah RMKe-12,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) berhubung keputusan kerajaan untuk mengekalkan status pinjaman BTS atau diberi semula dalam bentuk geran untuk pekebun kecil.

Jalaluddin turut meminta kerajaan mempertimbang semula keputusan untuk tidak meletakkan harga lantai bagi komoditi sawit dan getah yang disifatkannya akan memberi impak ketara terhadap pekebun kecil tempatan.

Mongin sebaliknya berkata kerajaan tiada perancangan untuk menetapkan harga lantai bagi komoditi sawit dan getah pada masa ini.

“Kita belum beri ketetapan, tetapi sentiasa terbuka untuk memartabatkan industri sawit (serta getah) dan membantu pekebun-pekebun kecil.

“Perkara ini akan kita bincangkan di peringkat kementerian,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )