Pandelela diangkat sebagai ikon perpaduan negara

Pandelela diangkat sebagai ikon perpaduan negara

KUALA LUMPUR,. Ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong diangkat sebagai ikon perpaduan negara baru-baru ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu semalam.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata selain pemimpin, seniman dan legenda sukan, kementeriannya kini turut menjadikan Pandelela sebagai ikon untuk mengeratkan perpaduan dalam kalangan rakyat.

“Sekarang ini kita melihat perenang juga menjadi ikon, kita masukkan beliau ke dalam agensi bawah kita seperti Pandelela supaya beliau menjadi ikon di Kementerian Perpaduan Negara,” katanya semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat di sini semalam.

Beliau menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) yang ingin tahu sama ada kementerian berhasrat untuk menghasilkan filem pendek mengenai kisah legenda sukan bagi memupuk perpaduan seperti yang dicadangkan beliau.

Untuk rekod, penerjun dari Sarawak berusia 29 tahun itu pernah menjadi Ikon Belia Sukan Negeri Sarawak pada 2016 dan Ikon Sukan Yakult 2017.

Aaron berkata Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang diangkat sebagai ikon perpaduan turut diperkenalkan kepada golongan belia di negara ini melalui Pameran Eksklusif Seniman Agung P. Ramlee pada Mac lepas.

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Perpaduan Negara tidak terlibat dalam proses pemantauan dan suntingan drama dan filem kerana urusan berkaitan proses penerbitan serta penggambaran filem dilaksanakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Katanya, urusan pemberian kelulusan ke atas kandungan filem sebelum ditayangkan kepada masyarakat umum pula terletak di bawah tanggungjawab Lembaga Penapis Filem (LPF).

Bagaimanapun, Aaron berkata peranan Kementerian Perpaduan Negara adalah melalui usaha pemantauan melalui sistem e-SEPAKAT bagi setiap isu melibatkan keharmonian dan perpaduan selain melaksanakan program dialog atau perbincangan kefahaman antara agama.

“Kalau masalah (isu) itu lebih ketara, di Jabatan Perpaduan Negara, kita ada Mediator Komuniti yang selalunya menjalankan tugas untuk membuat mediasi ke atas masalah.

“Jika ia lebih ketara, ia akan dirujuk kepada agensi berkaitan seperti PDRM (Polis Diraja Malaysia), MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) dan PBT (Pihak Berkuasa Tempatan),” katanya

Beliau menjawab pertanyaan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) mengenai penglibatan kementerian berkenaan dalam proses pemantauan dan suntingan drama serta filem bagi memastikan nilai-nilai kerukunan dalam karya yang dihasilkan selain tidak menyentuh sensitiviti kaum dan agama.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )