Nafas dilantik pemborong tunggal program IBPS, beri ruang pihak berdaftar edar benih –  Ronald Kiandee

Nafas dilantik pemborong tunggal program IBPS, beri ruang pihak berdaftar edar benih – Ronald Kiandee

KUALA LUMPUR,. Pelantikan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) sebagai pemborong tunggal dalam program Insentif Benih Padi Sah (IBPS) akan memberi ruang kepada ejen, individu atau syarikat sedia ada yang telah berdaftar untuk mengedarkan benih padi sah.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ronald Kiandee, berkata ini kerana Nafas mempunyai sumber kewangan yang kukuh serta kemampuan dan pengalaman dalam pengedaran Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) di seluruh negara.

“Pelantikan Nafas merupakan satu kaedah penyelesaian terbaik dan bersepadu memandangkan Nafas mempunyai kecekapan rantaian yang menyaksikan pengedaran benih padi sah oleh Nafas melibatkan 148 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dalam kawasan padi di Semenanjung Malaysia,” katanya dalam sesi soal jawab Dewan Rakyat di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) berhubung pelantikan Nafas sebagai ejen tunggal yang mampu memberi penyelesaian dalam mengedarkan benih padi.

Mengulas lanjut, Kiandee berkata pelantikan itu juga akan membolehkan penetapan harga siling padi dilaksanakan tanpa melibatkan tambahan peruntukan insentif kepada kerajaan.

Beliau berkata langkah itu dilihat mampu mengelak manipulasi benih padi sah dan harga di lapangan menerusi pembelian tanpa kawalan oleh pelbagai pihak di pintu kilang.

“Lesen dan permit akan diberikan kepada ejen, individu atau syarikat yang berdaftar dengan kerajaan untuk mengedarkan benih padi sah dan penetapan beberapa varieti benih padi sah yang akan dihasilkan oleh syarikat pengeluar benih padi sah untuk dipilih oleh pesawah.

“Nafas juga akan menyediakan stok penimbal benih padi sah bagi menangani isu seumpama ini,” katanya.

Kiandee berkata pada masa ini, kerajaan menetapkan harga jualan di premis pengeluaran benih padi sah di pintu kilang pada kadar RM28 bagi setiap beg (20 kilogram) kepada sesiapa sahaja tanpa kawalan sama ada PPK, ejen, syarikat, pelesen atau broker.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )