Mesyuarat khas Majlis Raja-raja diharap rungkai kemelut politik negara

Mesyuarat khas Majlis Raja-raja diharap rungkai kemelut politik negara

KUALA LUMPUR,. Kemelut politik yang melanda negara nampaknya belum menemui noktah.

Episod demi episod yang berlaku saban hari sejak Ahad lepas, dilihat seperti akan berpanjangan.

Hari ini Majlis Raja-Raja dijadual mengadakan mesyuarat khas di Istana Negara, sebelum solat Jumaat.

Keputusan daripada mesyuarat ini pastinya penting, antaranya difahamkan berhubung situasi politik terkini negara, termasuk kemungkinan yang sedang dalam pertimbangan raja-raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong, antaranya meneruskan kerajaan baharu, serta pembubaran Dewan Rakyat.

Hasil mesyuarat ini pastinya ditunggu-tunggu dan merungkai kekusutan kemelut peralihan kerajaan yang sedang berlaku.

Perdana Menteri interim Tun Dr Mahathir Mohamad semalam mengesahkan persidangan khas Dewan Rakyat akan diadakan pada 2 Mac bagi menentukan calon yang mendapat majoriti untuk menjadi perdana menteri baharu.

Dr Mahathir selepas mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 di Putrajaya memaklumkan Yang di-Pertuan Agong menitahkan forum yang tepat untuk memilih Perdana Menteri adalah di Parlimen selepas Seri Paduka mendapati tiada calon yang mempunyai majoriti ketara.

Beliau berkata sekiranya persidangan khas itu gagal mencapai keputusan, pilihan raya mengejut akan diadakan.

Sementara itu, Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof berkata semua proses berkaitan pemilihan perdana menteri baharu pada persidangan khas Dewan Rakyat pada 2 Mac depan akan ditentukan selepas menerima surat yang lengkap daripada Dr Mahathir.

Dalam pada itu, hari ini parti-parti politik dijangka mengadakan mesyuarat khas masing-masing bagi membincangkan situasi terkini dan langkah mereka dalam kemelut ketika ini.

Apa yang berlaku di peringkat Persekutuan dijangka memberi kesan kepada kerajaan negeri, dengan kemungkinan pertukaran kerajaan beberapa negeri.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )