Menteri, Timbalan Menteri salur tiga bulan gaji ke Akaun Amanah Bencana

Menteri, Timbalan Menteri salur tiga bulan gaji ke Akaun Amanah Bencana

KUALA LUMPUR,. Semua menteri dan timbalan menteri tidak akan mengambil gaji masing-masing selama tiga bulan mulai Jun seperti mana yang telah diamalkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tahun lepas.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) dalam perutusan khas Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA Tambahan) PKP 3.0 yang disiarkan menerusi saluran televisyen tempatan malam Ahad (31 Mei).

Menurut beliau, gaji itu akan disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan COVID-19.

Beliau berkata semua inisiatif yang ditampilkan ini adalah antara usaha kerajaan sebagai meneruskan agenda prihatin rakyat dan komitmen kerajaan dalam mengurus krisis yang melanda kini.

“Saya amat menghargai dan berterima kasih kepada semua pihak yang kekal teguh bersama-sama kerajaan tanpa mengira kawan atau lawan dalam menghadapi situasi yang tidak pernah kita jangkakan ini,” katanya.

Sementara itu Muhyiddin berkata kerajaan turut menyediakan pelbagai pakej rangsangan bernilai lebih RM100 bilion yang masih dalam pelaksanaan.
Beliau berkata dari segi perbelanjaan langsung daripada kerajaan, RM65 bilion diluluskan menerusi Kumpulan Wang COVID-19, dengan RM38 bilion telah dibelanjakan pada tahun lepas dan RM10 bilion telah disalurkan sehingga April tahun ini, manakala baki RM17 bilion akan dibelanjakan dalam tempoh terdekat.

Menurutnya antara inisiatif dan program yang dilaksanakan termasuk Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) Fasa 2 yang bermula pada awal Mei lepas dengan peruntukan RM2.7 bilion membabitkan 8.4 juta penerima, manakala Fasa 3 bernilai RM2.4 bilion dijadualkan pada September ini.

Perdana menteri berkata selain itu program subsidi upah, insentif penggajian serta program latihan untuk membantu menjamin pekerjaan sedia ada, serta menggalakkan penyediaan pekerjaan baharu dengan sasaran 500,000 untuk tahun ini.

“Inisiatif ketiga ialah pelaksanaan projek-projek kecil dengan peruntukan lebih RM2 bilion untuk dibelanjakan bagi memanfaatkan kontraktor Kelas G1 hingga G4, bagi pembaikan infrastruktur dan fasiliti awam.

“Keempat, program Jaringan Prihatin bernilai RM2 bilion yang juga dilancarkan pada awal Mei lepas bagi membantu 8.4 juta penerima BPR untuk melanggan perkhidmatan telekomunikasi atau mendapatkan peranti telefon mudah alih,” katanya.

Muhyiddin berkata program e-Belia yang akan dibuka pendaftaran mulai esok pula akan memanfaatkan dua juta belia dan pelajar institusi pengajian tinggi yang layak untuk mendapatkan kredit bernilai RM150 daripada penyedia perkhidmatan e-tunai.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )