Malaysia tidak alami kegawatan ekonomi pada 2023
KUALA LUMPUR,. Malaysia dijangka tidak akan mengalami kegawatan ekonomi pada tahun ini meskipun berdepan cabaran ketidaktentuan global, kata Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan.
Beliau berkata takrifan kegawatan atau kemelesetan ekonomi secara teknikal adalah apabila sesebuah negara mengalami penguncupan ekonomi iaitu pertumbuhan negatif suku tahunan sebanyak dua kali berturut-turut.
“Berdasarkan prestasi pertumbuhan ekonomi pada kadar 8.7 peratus tahun lepas, kerajaan menjangkakan ekonomi Malaysia akan berkembang sekitar 4.5 peratus pada tahun ini.
“Malah, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia turut mengunjurkan kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2023 sekitar 4.4 peratus dan 4.0 peratus,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Idris Ahmad (PAS-Bagan Serai) yang bertanya mengenai rancangan kerajaan untuk menghadapi kegawatan ekonomi yang dijangka berlaku pada tahun ini.
Selain itu, Ahmad turut menegaskan bahawa kerajaan akan terus mengutamakan pertumbuhan ekonomi negara dan pembangunan saksama untuk rakyat selain menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang lebih menarik.
“Ini termasuk memudah cara proses pelaburan, mewujudkan lebih banyak syarikat pemula berinovasi tinggi dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dengan pendapatan yang setimpal,” katanya.
— BERNAMA