Malaysia raih FDI RM392.9 bilion pada 2018-2021, lebih 76 peratus direalisasi – MITI

Malaysia raih FDI RM392.9 bilion pada 2018-2021, lebih 76 peratus direalisasi – MITI

KUALA LUMPUR,. Kerajaan telah meluluskan pelaburan langsung asing (FDI) bernilai RM392.9 bilion dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan di bawah seliaan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi tempoh 2018 sehingga 2021.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Liew Chin Tong berkata daripada jumlah tersebut, pelaburan bernilai RM300.5 bilion atau 76.5 peratus telah berjaya direalisasikan.

“Perincian FDI yang direalisasikan antara 2018 hingga 2021 adalah masing-masing 57.6 peratus bagi 2018; 75.6 peratus (2019); 62.2 peratus (2020) dan 87 peratus (2021). Data rasmi FDI yang diluluskan untuk 2022 akan hanya dimuktamadkan pada penghujung Mac depan.

“Secara lazimnya, pelaksanaan projek mengambil masa satu hingga dua tahun untuk direalisasikan, bergantung pada skala projek serta keadaan ekonomi semasa,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Johari Abdul Ghani (BN-Titiwangsa) mengenai jumlah FDI yang berjaya direalisasikan setiap tahun berbanding jumlah pelaburan diluluskan MIDA bagi tempoh 2018 hingga 2022.

“Kemasukan FDI berkualiti tinggi adalah penting untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi dan membawa kesan limpahan positif kepada negara dan rakyat melalui penjanaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat tempatan dan peluang perniagaan,” katanya.

Liew turut menegaskan bahawa kerajaan melalui MITI dan MIDA sentiasa komited untuk menggembleng usaha bagi terus menggalakkan pelaburan domestik dan asing ke dalam negara.

Malah, katanya, bagi memastikan impak positif dari kemasukan FDI segera diterjemahkan kepada aktiviti ekonomi, MIDA telah melaksanakan pelbagai strategi proaktif bagi merealisasikan projek pelaburan.

Ini termasuk penubuhan Unit Percepatan dan Koordinasi Projek yang menyediakan fasilitasi menyeluruh kepada pelabur dengan cara mempercepat dan memudahkan lagi proses kelulusan agar projek pelaburan berkaitan dilaksanakan mengikut tempoh ditetapkan.

Menurutnya, MIDA juga memperkenalkan Portal InvestMalaysia iaitu platform permohonan dalam talian bagi mengoptimumkan fasilitasi pelaburan seperti kelulusan lesen pengilang untuk industri tidak sensitif yang dalam tempoh dua hari bekerja.

Ia turut memantau kemajuan pelaksanaan projek yang diluluskan menerusi kaji selidik status pelaksanaan yang dijalankan sebanyak dua kali setahun iaitu pada Jun dan Disember, kata beliau.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )