Malaysia lakar sejarah, undang-undang larang lompat parti dilulus Dewan Rakyat

Malaysia lakar sejarah, undang-undang larang lompat parti dilulus Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR,. Pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti atau lebih sinonim dengan istilah ‘lompat parti’ mendapat sokongan lebih dua pertiga ahli dewan, sekali gus melakar sejarah yang mengubah landskap politik tanah air.

Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 itu memperoleh masing-masing sokongan 209 daripada 220 Ahli Parlimen selepas dua kali undi belah bahagian dilakukan, iaitu lebih dua pertiga persetujuan Ahli Dewan Rakyat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun ketika mengumumkan perkara itu berkata 11 Ahli Parlimen tidak hadir.

“Syabas kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat yang mencipta sejarah hari ini,” katanya.

Pindaan itu dibahaskan 54 Ahli Parlimen selepas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membentangkannya untuk bacaan kali kedua kira-kira 11.30 pagi, semalam.

Pindaan mengandungi empat perenggan dan enam fasal, dengan empat daripadanya adalah fasal baharu antaranya menyebut seseorang Ahli Dewan Rakyat akan hilang kerusi dimenanginya, jika wakil rakyat itu bertukar parti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu menjelaskan Ahli Dewan Rakyat yang keluar daripada suatu parti politik dalam suatu gabungan dan menyertai parti politik lain dalam parti gabungan sama atau berbeza, individu terbabit akan terhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat serta perlu mengosongkan kerusi.

Beliau berkata Ahli Dewan Rakyat yang bukan anggota mana-mana parti politik dan membentuk sesuatu gabungan parti politik juga dianggap bertukar parti jika keluar daripada gabungan tersebut.

Bagaimanapun, beliau berkata sebarang tindakan suatu parti politik termasuk keluar daripada suatu gabungan dan menyertai gabungan lain tidak dianggap sebagai tindakan bertukar parti.

Selain itu, Wan Junaidi berkata sekiranya seorang Ahli Dewan Rakyat mempunyai prinsip bertentangan dengan parti dan menyebabkan keahliannya digugurkan berdasarkan perlembagaan parti tersebut, maka individu itu boleh dianggap telah bertukar parti dan perlu mengosongkan kerusinya.

Beliau berkata ia sekiranya perlembagaan parti itu memperuntukkan bahawa perbuatan Ahli Dewan Rakyat terbabit yang tidak mengikut prinsip parti atau melanggar arahan Whip akan menyebabkannya tidak lagi menjadi anggota parti politik tersebut dengan sendirinya.

“Merujuk kepada perkara ini, perlembagaan sesuatu parti politik menentukan tindakan terhadap Ahli Dewan Rakyat tersebut. Oleh itu, terdapat keperluan untuk pindaan dilaksanakan terhadap perlembagaan parti politik bagi memastikan ia selaras dengan rang undang-undang ini,” katanya.

Rang undang-undang mengenai pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan itu dibentangkan bagi bacaan pertama pada mesyuarat khas Dewan Rakyat 11 April lepas, namun pindaan asal itu kemudiannya diteliti semula dari aspek penetapan dasar yang lebih jelas.

Sidang dewan khas itu seterusnya meluluskan usul pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas yang diwakili pihak kerajaan dan pembangkang untuk membuat syor berhubung pindaan itu.

Jawatankuasa Pilihan Khas itu mengadakan tujuh siri mesyuarat dan perbincangan bermula 15 April hingga 12 Julai lepas.

Sesi libat urus bersama Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang turut diadakan pada 25 dan 26 Julai sebelum dibentangkan bagi bacaan kali kedua semalam.

Persidangan bersambung Isnin.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )