Malaysia akan semak semula RMK12 susulan COVID-19, harga minyak rendah – Mustapa

Malaysia akan semak semula RMK12 susulan COVID-19, harga minyak rendah – Mustapa

KUALA LUMPUR, 24 April — Malaysia perlu menyusun semula perancangan ekonominya di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) susulan penularan pandemik COVID-19 dan kejatuhan harga minyak baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata perancangan bagi RMK12 dilakukan semasa ekonomi negara berada dalam keadaan baik pada 2019 dan justeru itu ia perlu disusun semula walaupun kerja-kerja bagi menyiapkan pelan lima tahun ini, yang merangkumi tempoh dari 2021 hingga 2025, telah hampir selesai.

“Semasa saya datang ke kementerian lima hingga enam minggu lepas, RMK12 telah hampir selesai. Tetapi dengan keadaan semasa yang mana hasil negara telah terjejas dan, yang sama penting, normal baharu ini, akan mengambil sedikit masa sebelum syarikat pulih semula dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) boleh kembali beroperasi seperti biasa. Syarikat-syarikat menangguhkan keputusan pelaburan mereka.

“Jadi kita perlu menyemak semula beberapa andaian yang dibuat dalam tempoh beberapa bulan lepas semasa menyediakan RMK12,” katanya semasa sesi webinar yang dianjurkan oleh Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) hari ini.

Sesi tersebut diperantarakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS Ali Salman.

Mustapa berkata sektor minyak dan gas memberi impak yang besar kepada ekonomi – bukan hanya Malaysia tetapi juga negara-negara pengeluar minyak utama.

“Berkaitan perancangan, ada antara angka yang kita proses sebelum ini tidak lagi relevan dan sekarang kita kembali membuat perancangan semula dari segi unjuran pertumbuhan ekonomi, dari segi peruntukan — sudah tentunya, ia akan menerima kesan — dan implikasi lain ke atas ekonomi negara,” katanya.

Malaysia sangat bergantung kepada sektor minyak dan gas yang ketika ini menyumbang 20 peratus kepada hasil kerajaan dan aliran menurun harga minyak ketika ini akan menjejaskan hasil negara.

Mustapa berkata pada peringkat awal COVID-19, kerajaan tidak menjangkakan besarnya kesan krisis kesihatan itu terhadap ekonomi global.

Bagaimanapun, katanya, Malaysia dapat mengharungi badai itu kerana kerajaan memberikan tumpuan utama dalam usaha memerangi pandemik COVID-19 dengan sokongan daripada sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan.

Beliau berkata, di Malaysia, perniagaan tempatan khususnya sektor pelancongan dan PKS telah terjejas akibat pandemik itu.

“Apabila ia bermula, tidak ramai yang menjangkakan pandemik itu akan berlanjutan sebegini lama. Pada awalnya, kita sendiri tidak faham akan impaknya secara menyeluruh. Sektor pelancongan misalnya yang paling teruk terjejas. Beberapa hotel terpaksa ditutup sepenuhnya kerana kadar penginapan yang rendah iaitu sekitar 5-10 peratus.

“Ini adalah sesuatu yang tidak dijangkakan. Pelbagai organisasi telah menjalankan kaji selidik dan berkongsi hasil dapatan itu dengan kita…semuanya menunjukkan bahawa perusahaan mikro dan lain turut terjejas. Malah, peruncit juga memaklumkan kita bahawa perniagaan mereka juga terjejas,” katanya.

Jelas Mustapa, pihak berkuasa juga berkemungkinan besar mempertimbang untuk membuka lebih banyak sektor apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memasuki fasa keempat pada 29 April sehingga 12 Mei ini.

“Bagi tempoh beberapa minggu lagi, akan ada ramai lagi yang kembali bekerja, termasuk PKS yang dapat meringankan lagi beban pekerja Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu beliau menyifatkan langkah suntikan fiskal menerusi pakej rangsangan itu akan dapat merancakkan lagi aspek perbelanjaan.

“Pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur akan terus memacu perbelanjaan swasta. Ini perlu dilakukan dengan yakin, namun pada masa ini, terdapat perubahan corak belian pengguna apabila ramai yang sebaliknya berbelanja lebih ke atas makanan dan barangan keperluan lain seperti ubat-ubatan.

“Melangkah ke hadapan, kita perlu bergantung kepada sektor swasta apabila perniagaan dibuka semula dan kemasukan semula pelancong menjelang tahun depan dapat memacu pemulihan sepenuhnya perbelanjaan swasta,” katanya.

Selain itu, Mustapa turut menyifatkan COVID-19 memberi peluang bagi menyusun semula Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Dari satu sudut, ia memberi peluang untuk meneliti asas-asasnya dan apakah yang telah kita usahakan pada masa lepas. Kita perlu mempergiatkan (usaha mencapai) kerajaan digital. Kita terbukti cemerlang dalam inisiatif itu tetapi perlu menelitinya lagi secara terperinci serta perdagangan digital,” katanya.

Ditanya sama ada kerajaan berhasrat untuk memperkenalkan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), beliau berkata : “Tumpuan (kerajaan) sekarang adalah membabitkan isu-isu utama. Tiada sesiapa pun yang terpinggir. Keutamaan sekarang adalah keadaan semasa ini. Isu-isu jangka pertengahan dan jangka panjang akan dilihat kemudian.”

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )