Majlis Pelaburan Negara ditubuhkan bagi merencanakan agenda pelaburan

Majlis Pelaburan Negara ditubuhkan bagi merencanakan agenda pelaburan

KUALA LUMPUR,. Majlis Pelaburan Negara (MPN) bakal ditubuhkan bagi merencana agenda berkaitan pelaburan sekali gus memastikan pemerkasaan tadbir urus pelaburan dalam negara, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata MPN akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan mesyuarat pertama akan diadakan dalam masa terdekat.

“Penubuhan MPN adalah penting memandangkan ia amat bertepatan dalam usaha untuk merencana agenda pelaburan mengikut kepentingan negara.

“Ini terutamanya berkaitan dengan pelaburan strategik dengan komitmen di peringkat tertinggi negara,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.

Tengku Zafrul berkata kementeriannya akan memberi tumpuan kepada matlamat Dasar Pelaburan Baharu Negara berteraskan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) yang melibatkan lima teras utama.

“Dasar Pelaburan Baharu ini juga memberi tumpuan kepada keterangkuman dan kemampanan yang selari dengan matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata kementerian melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah menubuhkan unit khas ‘Industrial Estate Unit’ bagi memantau dan membangunkan taman perindustrian untuk menarik pelaburan berkualiti.

Katanya kementeriannya juga telah menerima peruntukan perbelanjaan pembangunan daripada Kementerian Ekonomi berjumlah RM10 juta bagi tahun 2023 untuk program menaik taraf infrastruktur asas kawasan perindustrian sedia ada.

“Bagaimanapun, terdapat keperluan untuk memohon peruntukan tambahan bagi memastikan keupayaan dan penyelenggaraan 700 kawasan perindustrian dalam negara berada di tahap terbaik,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )