Madius Tangau: Sabah Perlu Diberi Keutamaan Dalam Menangani Impak Tarif AS

KUALA LUMPUR, 5 Mei 2025 — Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Madius Tangau, menyeru kerajaan Persekutuan agar segera bertindak menangani kesan ekonomi yang timbul susulan keputusan Amerika Syarikat mengenakan tarif timbal balas terhadap barangan import dari Malaysia dan negara lain. Menurutnya, meskipun pelaksanaan rasmi tarif hanya bermula 1 Julai 2025, impaknya sudah mula dirasai.

“Selepas pengumuman Trump pada 2 April, harga minyak mentah jatuh 14% dan minyak sawit mentah merosot 17%. Ini menjejaskan kutipan hasil negeri Sabah yang bergantung kepada cukai jualan dua komoditi ini,” jelas Madius dalam perbahasan di Dewan Rakyat.

Beliau berkata anggaran hasil negeri Sabah sebanyak RM6.44 bilion bagi tahun ini kini sukar dicapai, justeru meminta agar langkah sokongan segera disalurkan kepada negeri-negeri pengeluar komoditi utama.

Sabah Terjejas Walaupun Eksport Kecil ke AS
Walaupun nilai eksport Sabah ke AS hanya sekitar RM400 juta, katanya, Sabah tetap menerima kesan besar kerana kejatuhan harga global menjejaskan kutipan cukai negeri.
Madius turut menyokong pendekatan kerajaan yang mengutamakan rundingan dan bukannya tindakan balas terhadap AS, namun meminta penjelasan lanjut mengenai siapa wakil Malaysia yang dilantik untuk mengetuai rundingan tersebut.

Ancaman Strategi Lanjutan “America First”
Beliau mengingatkan bahawa tarif hanyalah permulaan kepada rangka strategi besar Trump di bawah slogan “America First” dan “Make America Great Again”.
“Trump sudah fikir soal ini sejak 40 tahun lalu. Kita mesti bersiap sedia untuk hadapi strategi-strategi lain yang mungkin menyusul,” ujar beliau.

Sabah Perlu Jadi Fokus Strategi Nasional
Sebagai langkah persediaan jangka pendek, sederhana dan panjang, Madius menggesa kerajaan untuk:
• Melibatkan kerajaan negeri dalam semua perbincangan dan pelan tindak
• Menyokong pembangunan hab industri hiliran di Sabah seperti POIC Lahad Datu, SOGIP Sipitang dan KKIP
• Mempercepat pembinaan lapangan terbang baharu di Lahad Datu
• Meningkatkan infrastruktur asas seperti air, elektrik dan jaringan kereta api industri

Beliau menegaskan bahawa Sabah memiliki kekuatan geopolitik yang strategik di rantau ASEAN yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi mengukuhkan daya tahan ekonomi negara.
Cadangan Penubuhan Task Force di Negeri dan Persekutuan

Sebagai penutup, Madius mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan task force khas di bawah Jabatan Perdana Menteri dan jabatan Ketua Menteri Sabah bagi merangka dan menyelaras strategi respons terhadap krisis ini.

“Tindakan segera dan bersepadu dari semua peringkat amat penting agar Sabah dan negara tidak terus terkesan oleh gelombang perdagangan global yang sukar dikawal,” katanya.

-ParliaMentNews

CATEGORIES
Share This