Liga Sukan OKU 2022, medan cungkil bakat baharu

Liga Sukan OKU 2022, medan cungkil bakat baharu

KUALA LUMPUR,. Liga Sukan Orang Kurang Upaya (OKU) yang bermula pada tahun depan bakal menjadi medan mencungkil bakat-bakat baharu di negara ini, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (gambar).

Beliau berkata acara sukan itu akan dilaksanakan secara berstruktur bermula di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan, dengan juara kebangsaan bakal diserap ke program latihan atlet pelapis.

“Peserta program latihan atlet pelapis ini berada di bawah kendalian Majlis Sukan Negara (MSN) untuk dilatih menjadi atlet masa hadapan negara,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat dasar di Dewan Rakyat pada Rabu.

Katanya kementerian menerusi Jabatan Belia dan Sukan juga akan memastikan kerja-kerja menaik taraf penyelenggaraan kemudahan sukan meliputi kemudahan OKU seperti laluan khas, tandas dan kawasan parkir.

Menurutnya ia seiring peranan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam mengupayakan golongan OKU sebagai penyumbang kepada ekosistem industri sukan di Malaysia.

Selain itu, Ahmad Faizal berkata KBS sedang membangunkan Pelan Tindakan Industri Sukan Negara bagi mengiktiraf industri sukan sebagai pemacu sumber ekonomi negara serta membangunkan sosioekonomi rakyat.

Katanya pelan tersebut memfokuskan kepada beberapa strategi antaranya memangkin ekosistem e-sukan yang mampan dan rancak, memperkukuh dan memperluaskan model mengkomersialkan sukan serta memperhebat program penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam sukan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )