Lebih 6,000 kekosongan jawatan jurawat di KKM

Lebih 6,000 kekosongan jawatan jurawat di KKM

KUALA LUMPUR,. Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan terdapat 6,787 kekosongan jawatan jururawat melibatkan jawatan sedia ada dan pewujudan jawatan baharu berikutan naik taraf serta pembinaan fasiliti baharu, setakat 31 Mac lepas.

KKM sedang melaksanakan proses pengambilan menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bagi memastikan bilangan jururawat yang mencukupi di fasiliti yang berkenaan yang akan dibuat secara berfasa dalam kalangan graduan Diploma Kejururawatan daripada institusi pendidikan tinggi awam (IPT) awam dan swasta serta graduan Diploma Kejururawatan dari Institut Latihan KKM (ILKKM).

“KKM juga meningkatkan lagi jumlah pengambilan pelatih Diploma Kejururawatan di ILKKM daripada 1,000 kepada 2,000 orang, manakala penawaran Jururawat Masyarakat ke Program Peningkatan Secara Lantikan (PSL) juga ditingkatkan daripada 800 ke 1,000 orang setahun,” menurut KKM dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen.

Maklum balas itu adalah bagi menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) berkaitan tindakan KKM menangani peletakan jawatan jururawat yang dilaporkan kerana tidak puas hati terhadap gaji rendah serta bagaimana kementerian mengisi jawatan kosong jururawat yang agak banyak.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )