Lebih 2,300 hektar kawasan lapang di ibu negara diperuntukkan kawasan hijau
KUALA LUMPUR,. Seluas 2,393.79 hektar kawasan lapang di ibu negara diperuntukkan sebagai kawasan hijau setakat ini, Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa memberitahu persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata daripada keluasan itu, sebanyak 977.55 hektar tanah telah diwartakan, manakala 1,416.24 hektar tanah lapang yang berpotensi akan dan sedang dalam proses diwartakan.
“Taman Persekutuan Bukit Kiara, Taman Rekreasi Bukit Kerinchi, Taman Tasik Metropolitan Kepong, Taman Tasik Pudu Ulu dan Taman Tasik Titiwangsa juga merupakan kawasan lapang dan rekreasi di Kuala Lumpur yang diwartakan bagi kegunaan orang ramai,” katanya pada sesi soal jawab.
Beliau menjawab soalan tambahan P. Prabakaran (PH-Batu) yang ingin tahu perkembangan taman-taman awam dan hutan simpan di Kuala Lumpur serta strategi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam menyasarkan nisbah 20 meter persegi kawasan tanah lapang berpenduduk dijadikan sebagai kawasan hijau.
Dr Zaliha berkata seluas 68.26 hektar kawasan hijau di ibu negara telah diwartakan sebagai hutan simpan iaitu Hutan Simpan Bukit Nanas, Hutan Simpan Bukit Sungai Puteh, Hutan Simpan Bukit Sungai Besi dan Hutan Simpan Bukit Lagong (Tambahan).
“Kawasan diwartakan ini tidak boleh digunakan untuk sebarang aktiviti pembangunan bercampur mahupun tujuan kediaman,” katanya.
Dr Zaliha berkata setiap pembangunan dicadangkan di Kuala Lumpur diwajibkan mematuhi syarat-syarat nyata DBKL antaranya perlu memperuntukkan 10 peratus kawasan lapang dalam lot pembangunan yang akan dilaksanakan.
Beliau berkata hal ini secara langsung akan meningkatkan 100 peratus kawasan rekreasi sedia ada di samping mengekalkan hutan simpan di seluruh Kuala Lumpur menjelang 2040.
— BERNAMA