Lapuran Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) 19 Mei 2020

1. Assalamulaikum WBT dan Salam Hormat. Terima kasih kerana bersama saya dalam Laporan Laksana Ke-6 pada hari ini. Welcome to the 6th Laksana progress report.

2. Video yang ditayangkan sebentar tadi adalah mengenai saudara Jasa Fitri Zulkefli yang berumur 25 tahun dari Ampang. Gara-gara PKP, beliau kehilangan pekerjaan sebagai pengelola acara. Sebagai salah seorang penerima BPN kategori bujang, wang yang diterimanya digunakan untuk membiayai perbelajaan diri dan adik-adiknya. Saya amat gembira BPN dapat membantu saudara Fitri dan keluarganya. This is what the assistance is all about – to help the people and ease their burdens.

3. Selama 6 minggu perkongsian status pencapaian Pakej PRIHATIN ini, saya berharap keterbukaan Kerajaan memberi keyakinan kepada orang ramai bahawa Kerajaan amat komited dalam melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuh ekonomi.

4. Saya sedar bahawa terdapat cabaran pelaksanaan dari semasa ke semasa dan saya terima teguran daripada orang ramai akan perkara ini. Maklumlah, Kerajaan mengambil berat isu pelaksanaan kesemua langkah-langkah pakej PRIHATIN kerana ia memberi kesan yang terus dan nyata kepada kehidupan seharian Rakyat serta kelangsungan perniagaan. Segala usaha memulakan semula dan memulihkan ekonomi berkait rapat dengan kejayaan pelaksanaan Pakej PRIHATIN ini dan ia merupakan usaha berterusan.

Saudara dan saudari yang dihormati,

5. Izinkan saya berkongsi status pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat, atau PRIHATIN, pada minggu ini.

6. Kita mulakan dengan langkah-langkah di bawah Matlamat Pertama PRIHATIN iaitu “Lindungi Rakyat”.

7. Pertama, Bantuan Prihatin Nasional atau BPN.

a. Sehingga 17 Mei, bagi Fasa Pertama, seramai 7.84 juta penerima telah menerima bayaran sebanyak RM5.54 bilion – Bayaran yang telah selesai ini adalah termasuk kepada penerima yang tiada akaun bank atau gagal kredit. Seperti mana yang pernah saya sebutkan sebelum ini, bagi golongan ini, mereka boleh menuntut bayaran BPN di cawangan BSN sehingga 31 Disember 2020. Kadar pencapaian Fasa Pertama masih pada tahap 96%, seperti minggu lalu.

b. Bagi Fasa Kedua pula, seramai 7.61 juta penerima BPN telah menerima bayaran berjumlah RM3.41 bilion. Ini mewakili pencapaian 93% daripada peruntukan untuk Fasa Kedua. Sasaran sebelum ini adalah untuk menyempurnakan bayaran pada hujung minggu lalu, namun disebabkan oleh beberapa kekangan teknikal, usaha menyalurkan pembayaran akan berterusan sehingga 22 Mei ini.

BPN Fasa Pertama dan Kedua
Penerima Fasa Pertama (6 -15 April) Jumlah bayaran Penerima Fasa Kedua (4 – 22 Mei) Jumlah bayaran
M40 Bujang 0.43 RM0.11 bilion 0.43 RM0.11 bilion
M40 Isi Rumah 0.72 RM0.36 bilion 0.72 RM0.36 bilion
B40 Bujang 3.24 RM1.624 bilion 3.11 RM0.93 bilion
B40 Isi Rumah 3.45 RM3.446 bilion 3.35 RM2.01 bilion
Keseluruhan 7.84 RM5.54 bilion 7.61 RM3.41 bilion

c. Bagi 2.3 juta penerima yang layak daripada permohonan baharu dan rayuan, bayaran telah pun bermula pada 15 Mei 2020. Sehingga kini, seramai 830,000 telah menerima bayaran BPN melibatkan RM620 juta.

d. Susulan pelanjutan proses rayuan yang diumumkan minggu lalu, LHDN sedang giat memproses rayuan yang diterima dan akan memberi pertimbangan sewajarnya. Pemohon diingatkan untuk mengemukakan rayuan dengan kadar segera sebelum tarikh tutup rayuan yang telah dipanjangkan sehingga 31 Mei 2020.

e. Pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pegawai Kementerian Kewangan, LHDN dan BSN yang menjalankan tugas membantu rakyat dengan penuh dedikasi. Selama hampir 2 bulan tanpa henti, pegawai-pegawai ini bertungkus-lumus memastikan BPN dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

f. Pada minggu lalu, saya terbaca berita mengenai pasangan suami isteri yang terpaksa menutup kedai mereka ketika tempoh PKP. Menghadapi cabaran aliran tunai, mereka telah menggunakan duit BPN sebagai modal untuk memulakan perniagaan kambing perap. Daripada tempahan 5kg sehari, mereka kini mendapat tempahan sehingga 55kg sehari. Teruja dengan semangat keusahawanan mereka, saya telah bekesempatan

membuat panggilan video bersama Encik Rosnizam Ishak yang bertempat di Bertam, Pulau Pinang, untuk lebih memahami pengalaman mereka.

g. Tahniah diucapkan kepada Rosnizam dan isterinya, Puan Roazian Md Noor. Moga terus sukses dalam perniagaan mereka.

7. Kedua, program i-Lestari KWSP. Sehingga 17 Mei, sebanyak 4.4 juta permohonan telah diterima dan 3.9 juta telah diluluskan, iaitu peningkatan daripada 3.7 juta daripada minggu lalu. Jumlah pembayaran ini melibatkan RM1.83 bilion sebulan.

i-Lestari Jumlah diluluskan* (RM bilion) Permohonan diluluskan* (juta)
17 Mei 1.83 3.9
10 Mei 1.76 3.7
3 Mei 1.66 3.5
26 April 1.57 3.3
19 April 0.70 1.5
12 April 0.57 1.17
*Jumlah Kumulatif

8. Ketiga, bagi langkah pengurangan caruman KWSP oleh pekerja daripada 11% kepada 7%, jumlah pengurangan caruman yang dianggarkan akan diterima ahli KWSP untuk bulan Mei adalah RM923.5 juta. Kerajaan mendapati semakin ramai pekerja membuat pilihan sendiri untuk mengekalkan caruman mereka pada kadar 11%, iaitu seramai 1.5 juta atau lebih kurang 20% daripada pencarum KWSP sehingga 17 Mei berbanding dengan 1.2 juta pencarum pada bulan April.

9. Keempat, diskaun bil elektrik. Sehingga 17 Mei, secara keseluruhannya, pelanggan Tenaga Nasional Berhad telah menerima diskaun sebanyak RM288 juta, iaitu lebih 67% untuk kegunaan domestik dan selebihnya untuk industri. Majoriti jumlah ini telah memanfaatkan rakyat dari segi mengurangkan beban bayaran bil elektrik bulanan, terutamanya dalam tempoh PKP dan PKPB.

10. Kelima, bagi elaun khas kepada petugas Barisan Hadapan atau Frontliners, sehingga 30 April, kerajaan telah membuat bayaran bulan pertama sebanyak RM62 juta daripada RM500 juta yang diperuntukkan. Saya telah menerima aduan bahawa terdapat kesukaran memohon elaun tersebut disebabkan masalah birokrasi atau dokumentasi. Kementerian Kewangan sedang bekerjasama dengan jabatan dan agensi berkaitan untuk memudahkan proses. Apa-apa pun, jangan bimbang, Kerajaan akan memastikan elaun akan sampai kepada petugas barisan hadapan yang layak.

11. Keenam, di bawah PRE2020, RM600 secara one-off akan diberikan kepada pemandu pelancong atau tour guides bagi meringankan beban mereka. Proses mengenalpasti dan semakan pemandu pelancong telah mengambil masa dan saya berterima kasih kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya atas usaha ini. Terima kasih di atas kesabaran dan kerjasama daripada pemandu pelancong. Sukacita saya berkongsi bahawa bayaran tersebut akan dibuat mulai 20 Mei kepada 8,000 pemandu pelancong.

Saudara dan saudari yang dihormati.

12. Seterusnya saya ingin berkongsi status pelaksanaan langkah-langkah di bawah Matlamat Kedua PRIHATIN iaitu “Sokong Perniagaan”.

13. Pertama, untuk Subsidi Upah, sehingga 17 Mei, RM2.24 bilion telah diluluskan bagi 267,752 majikan yang mewakili 2 juta pekerja. Ini adalah peningkatan jumlah yang diluluskan sebanyak RM140 juta untuk 100 ribu pekerja daripada minggu sebelumnya.

Subsidi Upah Peruntukan: RM13.8 bilion Jumlah diluluskan* (RM bilion) Jumlah Majikan* Jumlah Pekerja* (juta)
17 Mei 2.24 267,752 2.0
10 Mei 2.10 258,165 1.9
3 Mei 1.90 235,000 1.7
26 April 1.35 195,000 1.5
19 April 1.20 159,000 1.0
*Jumlah kumulatif

14. Kerajaan berbesar hati bahawa program subsidi upah dapat membantu perniagaan di samping mengekalkan pekerjaan. Tambahan juga dalam tempoh PKP Bersyarat ini, adalah diharapkan pembukaan semula kebanyakan sektor ekonomi akan membolehkan syarikat-syarikat memfokus kepada usaha-usaha meningkatkan pendapatan.

15. Walau bagaimanapun, Kerajaan sedar bahawa masih ramai rakyat Malaysia yang mungkin berasa was-was berbelanja dalam tempoh ini. Sehubungan itu, Kerajaan ingin menggalakkan Rakyat untuk terus menyokong ekonomi kita sebaik mungkin. Kita perlu mengimbangi penjagaan kesihatan awam dengan keperluan untuk menjana semula ekonomi. Apa yang dilihat sejak PKP Bersyarat dimulakan, Alhamdulillah perniagaan dan orang ramai akur mematuhi SOP di pusat-pusat membeli belah dan kedai-kedai. Syabas, Rakyat Malaysia – teruskan kerjasama anda. Kejayaan menangani peperangan ini adalah di tangan kita semua.

16. Ada satu lagi peringatan penting: wabak ini tidak akan hilang dalam masa terdekat, dan tiada negara yang mampu untuk menyekat sektor perniagaannya secara berterusan. This is why the Malaysian Government has chosen to empower businesses and individuals to also play their part in restarting the economy. However, businesses and the Rakyat must continue to exercise their discretion and good judgment in doing what is right for their health, and in turn, for the country’s economy.

17. Kedua, saya ingin berkongsi mengenai Program Pengekalan Pekerja atau Employee Retention Programme (ERP) bagi menjamin kelangsungan pekerjaan dan bagi membantu perniagaan. Dua minggu lalu, saya telah mengumumkan bahawa Kerajaan telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM120 juta menjadikan peruntukan keseluruhannya RM240 juta. Susulan daripada itu, sukacita saya mengumumkan bahawa sehingga 17 Mei, sebanyak 128 ribu pekerja telah diluluskan iaitu peningkatan daripada 52 ribu pada penghujung April.

18. Ketiga, ialah Program Bantuan Majikan Covid-19 (e-CAP) KWSP. Setakat 17 Mei, sebanyak 20,771 permohonan telah diterima, dan sebanyak 3,168 permohonan telah diluluskan bernilai RM20.6 juta bagi caruman KWSP majikan, berbanding RM13.4 juta minggu lalu. Saya ingin menekankan bahawa ini adalah penangguhan dan penstrukturan semula bayaran caruman, bagi membantu aliran tunai perniagaan syarikat masing-masing. Dari segi undang- undang, caruman ini masih perlu dibayar apabila keadaan ekonomi lebih stabil.

Bantuan majikan Covid-19 (e-CAP) KSWP Jumlah permohonan diterima* Jumlah permohonan diluluskan* Jumlah diluluskan* (RM juta)
17 Mei 20,771 3,168 20.6
10 Mei 13,690 2,032 13.4
*Jumlah kumulatif

19. Keempat, mengenai Dana Pinjaman Mudah PKS (SME Soft Loans Funds) yang dikendalikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Setakat 17 Mei, permohonan yang telah diluluskan oleh bank-bank tempatan dan disetujuterima oleh PKS adalah RM5.8 bilion, dan ini akan memanfaatkan 14,075 PKS. Jumlah ini termasuk dana Special Relief Facility, Agrofund dan Insurans Takaful untuk saringan COVID-19.

Dana Pinjaman Mudah PKS Peruntukan: RM6.3 bilion Jumlah diluluskan dan disetujuterima*
(RM bilion) Jumlah PKS*
17 Mei 5.8 14,075
10 Mei 4.7 11,975
3 Mei 3.0 6,840
26 April 1.5 3,636
*Jumlah kumulatif

20. Pada kesempatan ini, saya ingin berkongsi sedikit pencerahan mengenai SRF: pada mulanya sejumlah RM5 bilion telah diperuntukkan. Permintaan terhadap SRF ini adalah sangat menggalakkan dan peruntukan awal RM5 bilion telah digunakan sepenuhnya dengan cepat. Malah, seperti yang diumumkan oleh BNM minggu lalu, lebih 20,000 permohonan berjumlah kira-kira RM10 billion telah diluluskan oleh institusi kewangan yang menawarkan SRF ini.

21. Berikutan sambutan yang sangat menggalakkan ini, BNM telah menambah jumlah peruntukan sebanyak RM5 bilion lagi bagi memenuhi jumlah permohonan yang telah diluluskan ini. Daripada jumlah yang dluluskan ini, sejumlah RM5.75 bilion telah disetujuterima oleh 13,908 PKS manakala RM4.25 bilion permohonan selebihnya pula sedang dalam proses pasca-kelulusan termasuk permohonan jaminan dan setujuterima oleh pemohon.

22. Kelima, adalah mengenai Geran Khas Prihatin (GKP) untuk PKS mikro. Tarikh tutup geran ini adalah pada 15 Mei, iaitu Jumaat lalu. Kerajaan kini sedang memproses 642,979 permohonan yang telah diterima. Jika semuanya diluluskan, ini akan melibatkan peruntukan lebih kurang RM1.93 bilion.

23. Keenam, mengenai Skim Kredit Mikro dengan kadar faedah atau keuntungan 0%, di mana jumlah keseluruhannya adalah bernilai RM700 juta:

a. Pada minggu ini, di bawah skim kredit mikro BSN, 3,537 permohonan telah diluluskan, bernilai RM145 juta.

b. Bagi program Tekun pula, jumlah permohonan yang diluluskan ialah 12,104 PKS, dengan nilai RM101 juta.

c. Saya berharap skim pinjaman ini dapat dimanfaatkan oleh PKS Mikro dengan sebaik mungkin.

24. Ketujuh, bagi Projek Kerajaan Berskala Kecil, senarai projek yang telah dimuktamadkan minggu ini bernilai RM3.2 bilion, berbanding RM2.4 bilion pada minggu lalu.

Saudara dan saudari yang dihormati,

25. Kerajaan akan terus mengkaji perkembangan semasa, serta semua cadangan daripada pihak berkepentingan. Yakinlah, Kerajaan akan membuat sedaya upaya untuk membantu Rakyat dan perniagaan. Buat masa ini, Kerajaan sedang rancak dalam proses mendapatkan maklum balas dalam merangka pelan pemulihan ekonomi jangka pendek dan jangka sederhana yang akan dibentangkan kelak.

26. Bagi umat Islam, Hari Raya tahun ini tentu sekali amat berbeza, di dalam keadaan yang tidak pernah kita alami sebelum ini. Mungkin ramai yang akan merasa suasana Raya kurang seronok kerana tidak dapat berjumpa dan bersalam-salaman dengan ibu-bapa dan sanak saudara. Bila difikirkan kembali, ramai di antara kita yang mengambil mudah atau took for granted bahawa 1 Syawal akan sentiasa disambut dalam suasana aman dan meriah.

27. Tetapi mungkin juga ada hikmah dan mesej keinsafan di sebalik kesederhanaan persiapan dan perayaan 1 Syawal pada tahun ini. Yang pentingnya, kita perlu beryukur dengan keadaan wabak yang amat terkawal di Malaysia, dan berterimakasih dengan apa yang mampu dinikmati buat masa ini.

28. Sebelum mengakhiri ucapan minggu ini, terimalah dua rangkap pantun dari saya:

Anak Pak Nazri berlari-lari, Sambil berlari memakan roti WhatsApp dikirim pengganti diri Memohon maaf seikhlas hati.

Cantik sungguh si rama-rama, Hinggap seekor atas bendera, Satu syawal menjelang tiba, Jangan berziarah, video call aje!

29. Selamat Hari Raya, dan Maaf Zahir Batin kepada semua umat Islam, dan kepada yang bukan Islam, selamat bercuti.

30. Sekian sahaja Laporan Laksana buat kali ini, sehingga kita berjumpa lagi, wabillahitaufik walhidayyah. Assalamualaikum wbt, stay safe, dan salam hormat. Kuatkan semangat, teruskan muafakat, InsyaAllah kita pasti menang!

YB TENGKU DATO’ SRI ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ MENTERI KEWANGAN

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )